Rujuk Facebook PDRM Sabah

0

KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menyebarkan atau berkongsi maklumat mengenai kejadian pencerobohan pengganas di Pantai Timur di laman Facebook bagi mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, ketika memberi peringatan itu berkata tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap individu yang menyebar cerita tanpa pengesahan mengikut Akta Hasutan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai disyorkan merujuk kepada laman Facebook PDRM Sabah untuk mengetahui maklumat dan perkembangan terkini mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

“Kita minta masyarakat lebih beretika untuk menyampaikan atau berkongsi maklumat di laman Facebook kerana sekiranya ia boleh mendatangkan kemudaratan atau menghasut, maka tindakan boleh dikenakan kepada mereka.

“Oleh itu, saya sarankan kepada orang ramai untuk merujuk kepada laman Facebook kami iaitu PDRM Sabah untuk mengetahui atau berkongsi maklumat mengenai kejadian di Lahad Datu.

“Saya turut meminta kepada orang ramai agar segeralah berhenti menyebar atau berkongsi sebarang maklumat yang mampu mencetus spekulasi dan mengancam keselamatan orang lain,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian seorang ahli perniagaan tempatan yang secara kebetulan mempunyai nama sama dengan Jamalul Kiram, sehingga menyebabkan dia menerima ugutan menerusi laman Facebook.

Bagaimanapun, ahli perniagaan yang juga pemilik sebuah chalet peranginan di Kundasang itu telah membuat laporan polis atas tujuan keselamatan diri dan keluarganya berikutan insiden terbabit.