Agenda pembangunan diberi tumpuan

0

LIMBANG: Agenda pembangunan terus diberi tumpuan oleh kerajaan untuk dilaksanakan di Limbang pada tahun ini melibatkan pembinaan jalan raya, infrastruktur asas termasuk bekalan air dan kemudahan elektrik, pendidikan dan projek pembangunan lain.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata semua projek tersebut akan dilaksanakan pada tahun ini termasuk meneruskan kesinambungan projek  pembangunan yang tergendala tahun lalu.

“Pada masa ini, projek pembinaan jalan raya melibatkan Bawang Ubor ke Tanah Merah Mendamit fasa satu sedang rancak dijalankan dan akan diteruskan sehingga ke Mentawai di bawah fasa kedua nanti.

“Selain itu, projek Jalan Telahak hingga ke Kampung Pengkalan Rejab juga akan diteruskan walaupun berlaku sedikit kelewatan akibat kegagalan pihak kontraktor mematuhi jadual yang ditetapkan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini.

Hasbi berkata daripada aspek pembinaan kemudahan pendidikan, pembinaan Sekolah Kebangsaan Limbang yang tertangguh hampir setahun sebelum ini turut akan diteruskan pada tahun ini.

“Kami juga memberi perhatian terhadap pembinaan Jambatan Pandaruan yang menghubungkan Limbang dengan daerah Temburong, Brunei Darussalam yang kini memasuki hampir 40 peratus siap.

“Jambatan yang menjadi mercu tanda pembangunan di utara negeri Sarawak ini dijangka akan disiapkan pada Ogos tahun ini dan amat penting kerana mampu melancarkan sistem perhubungan jalan raya melibatkan Sarawak dan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan kegagalan pihak kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan sehingga menjejaskan perancangan yang dilakukan kerajaan.

“Kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan bertindak terhadap pihak kontraktor termasuk memberi amaran kepada mereka yang gagal menyiapkan projek.

“Ini termasuk projek jalan raya fasa kedua melibatkan  Kampung Binjai sehingga Buang Abai sepanjang enam km yang tertangguh,” tegasnya.

Hasbi menjelaskan bahawa pembinaan jalan raya sepanjang 16 kilometer bermula dari Telahak hingga Kampung Pangkalan Rejab dilaksanakan melibatkan tiga peringkat pembinaan bermula dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) sehingga RMK10.

Peringkat pertama, jelasnya membabitkan pembinaan jalan sepanjang 3.4 kilometer bermula dari Kampung Telahak sehingga ke Kampung Binjai.

Manakala peringkat kedua melibatkan Kampung Binjai sehingga Buang Abai sepanjang enam kilometer dan pakej ketiga melibatkan jalan dari Kampung Buang Abai sehingga ke Pangkalan Rejab.

“Projek jalan raya itu penting kerana merupakan alternatif kepada penduduk yang mendiami kawasan sepanjang hulu sungai Limbang yang memberi manfaat kepada lebih 10 kampung sekitarnya.

“Pada masa ini pembinaan jalan raya melibatkan peringkat pertama dari Kampung Meritam sehingga Kampung Binjai sudah siap dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.