Calon diketengahkan BN pasti berkebolehan: Taib

0
RASMI: Taib melakukan acara pecah tanah projek pembinaan RMM di Kanowit, semalam.

RASMI: Taib melakukan acara pecah tanah projek pembinaan RMM di Kanowit, semalam.

Calon PRU13 bukan hanya dikenali kerana popularitinya tetapi mampu berkhidmat kepada rakyat

KANOWIT: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu, calon yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bukan hanya dikenali kerana popularitinya tetapi juga mampu berkhidmat kepada rakyat yang diwakili.

Taib berkata, calon yang diketengahkan mestilah sentiasa berusaha memastikan kawasannya mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dan pusat selain mempunyai hubungan baik dengan para pemimpin.

Katanya hanya dengan cara sedemikian kerajaan dapat mengenali lebih dalam keperluan rakyat di semua kawasan di seluruh negeri.

Justeru, katanya apa yang diungkapkan pembangkang selama ini tidak harus menjadi ukuran kepada kesungguhan mereka untuk menjadi pemerintah.

“Siapa pemimpin pembangkang dan dapatkah tidak pemimpin itu berbuat seperti yang dilakukan BN.

“Kalau ya, pemimpin itu mestilah seorang yang bijak, pandai dan mampu memimpin rakyat,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Kanowit Fasa II, di sini semalam.

Katanya Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketua pembangkang) pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan namun ketika itu beliau gagal berbuat sesuatu yang mampu merubah nasib rakyat di sini.

Keadaan itu, jelasnya jauh berbeza dengan corak kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu.

Buktinya, sejumlah RM3.6 bilion daripada RM5 bilion telah diterima Sarawak untuk membangunkan projek yang diletakkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Jelas beliau (Anwar) hanya berniat untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi tidak berusaha untuk membangun dan membela nasib rakyat,” katanya.

Menjelang PRU13, Taib yang juga pengerusi BN Negeri berharap rakyat di Kanowit dapat terus memberi mandat kepada BN dan Najib sebagai pemimpin yang akan memimpin hala tuju negara.

Ini kerana hanya dengan cara sedemikian, segala rancangan pembangunan yang telah diusahakan kerajaan selama ini akan terus berkesinambungan.

Beliau juga merayu rakyat Kanowit, supaya terus memberi sokongan kepada Datuk Aaron Ago Dagang yang juga penyandang Kerusi Parlimen Kanowit pada PRU13 nanti.

“Katanya Aaron telah berusaha dengan sebaik mungkin membangunkan Kanowit.

“Oleh itu, pemimpin seperti ini berhak terus mendapat sokongan daripada rakyat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu, Menteri Muda Kemajuan Tanah dan Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna dan Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.