Jawatankuasa Biro Motivasi pantau ekonomi, pendidikan

0

MARUDI: Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap rumah panjang dan kampung di daerah ini dinasihati supaya menubuhkan Jawatankuasa Biro Motivasi masing-masing.

Penubuhan jawatankuasa itu penting untuk membantu JKKK di kawasan mereka memantau program-program ekonomi yang sedang dan akan dijalankan serta perjalanan proses pendidikan awal untuk kanak-kanak di sesebuah rumah panjang atau kampung berkenaan.

Pegawai Daerah Baram Joseph Belayong berkata pada masa sama jawatankuasa itu boleh bertindak sebagai ‘pembantu’ kepada tuai-tuai rumah panjang dan ketua kampung dalam menguruskan pentadbiran di kawasan masing-masing.

“Antaranya ialah Jawatankuasa Biro Motivasi boleh membantu ketua mereka (tuai rumah dan ketua kampung) memohon pelbagai program pembangunan dan bantuan yang diperlukan oleh penduduk di rumah panjang atau kampung berkenaan,” katanya.

Dengan lebih banyak program pembangunan diadakan maka rumah panjang atau kampung tersebut akan lebih maju dan membangun serta teratur pentadbirannya, tegas Belayong.

“Oleh yang demikian, setiap JKKK di rumah panjang dan kampung harus mempunyai pergaulan dan perhubungan baik antara satu sama lain untuk memperbetul pentadbiran agar perjalanan pengurusan menjadi sempurna,” katanya pada Majlis Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Baram di Rumah Atam Jawi di Long Tisam, Tinjar, di sini, semalam.

Belayong berkata, peranan JKKK amat penting dan sentiasa perlu memberi sokongan yang padu kepada tuai rumah dan ketua kampung masing-masing.

“Jangan pula ada yang cuba mengkucar-kacirkan pentadbiran di kampung masing-masing kerana apabila kita tidak sehati dan tidak bekerjasama, maka JKKK kita akan berpecah-belah dan pembangunan pula tidak akan dapat dilaksanakan,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, beliau mahu JKKK menerima pandangan dan nasihat daripada penduduk kampung yang lain dan saling mendengar perancangan dan buah fikiran satu sama lain agar mereka boleh mengenal pasti perancangan dan pembangunan terbaik untuk mereka dan memenuhi keperluan semua penduduk.

Beliau turut mengingatkan JKKK supaya membelanjakan peruntukan daripada geran yang diagihkan oleh kerajaan dengan baik dan sewajarnya dan bukan untuk tujuan lain yang tiada kena-mengena dengan permohonan mereka sebelum itu.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Baram Datuk Jacob Dungau Sagan.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie serta Penyelia Kanan KEMAS Baram Julita Laja Ala.