Kerajaan bekerja keras pastikan rakyat terus nikmati pembangunan

0
PATRIOTIK: Rohani (tengah), Hamsein (dua kiri), Ismawie (belakang Rohani) menyanyikan lagu patriotik pada program berkenaan di Lingga kelmarin.

PATRIOTIK: Rohani (tengah), Hamsein (dua kiri), Ismawie (belakang Rohani) menyanyikan lagu patriotik pada program berkenaan di Lingga kelmarin.

SRI AMAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) bekerja keras untuk memastikan rakyat negeri ini terus menikmati pembangunan, kata Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim.

Menurutnya, hasil kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan, sudah pasti tidak menjadi masalah untuk kerajaan melaksanakan pembangunan secara berterusan di negeri ini dan yang pastinya, rakyat harus berdiri teguh di belakang kerajaan sedia ada.

“Kita akui bahawa setiap pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini adalah datangnya daripada kerajaan BN dan bukannya disalurkan oleh pembangkang.

“Setahu kita, belum pernah pembangkang memberi pembangunan kepada rakyat di negeri ini dan apa yang kita lihat, setiap pembangunan seperti jalan raya, bekalan eletrik, belakan air bersih dan sebagainya adalah daripada kerajaan BN,” katanya ketika merasmikan Fiesta Batang Lupar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga di pekan Lingga, dekat sini kelmarin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, rakyat negeri ini seharusnya menolak segala polisi yang diketengahkan pembangkang kerana polisi mereka adalah pembohongan semata-mata dan cuba meracuni pemikiran rakyat untuk menyokong mereka.

“Sememangnya sudah menjadi lumrah pembangkang, setiap kali musim pilihan raya, mereka akan muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan mereka akan menimbulkan pelbagai cerita dan memburuk-burukkan kerajaan.

“Sikap seumpama ini tidak harus diikut, kerana mereka ini hanya memecahbelahkan perpaduan serta keharmonian rakyat.

“Kehadiran mereka ke kawasan kita ini hanya untuk memburuk-burukkan kerajaan sedia ada kerana mereka mempunyai niat untuk merampas kuasa daripada kerajaan sekarang,” jelasnya.

Oleh yang demikian katanya, rakyat harus menolak segala fitnah dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan BN sebaliknya terus berdiri teguh di belakang kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat terutama di luar bandar agar tidak mudah termakan segala hasutan pembangkang yang sudah bergerak ke kawasan luar bandar untuk menagih simpati rakyat menyertai mereka.

Turut hadir Timbalan Residen (Pembangunan) Bahagian Sri Aman Hamsein Attar, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Lingga Mohd  Elffizan Paukan dan Temenggung Abang Bohari Abang Zen.

Pada program yang sama, Rohani turut menyampaikan sumbangan kepada seramai 20 orang masyarakat yang kurang bernasib baik menerusi Program Sentuhan Kasih Rohani.