Lelaki disyaki bunuh bapa kandung direman tujuh hari

0

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki membunuh bapa kandung­nya sendiri diperintahkan Mahkamah Majistret se­malam supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Suspek, 26, dari Rumah Sabang, Sungai Sawai, Niah diperintahkan menjalani ta­hanan reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut pe­runtukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Pegawai penyiasat kes ketika mengemukakan per­mohonan reman semalam memberitahu pada petang 10 Mac lalu, seorang penduduk dari rumah panjang berk­enaan telah membuat laporan polis yang mendakwa berlaku pergaduhan antara dua be­ranak sehingga menyebabkan mangsa yang merupakan bapa kepada suspek cedera parah.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 12.30 tengah hari, 10 Mac lalu mangsa bersama dua anak lelakinya termasuk suspek sedang minum minuman keras jenis bir di bahagian ruai rumah panjang terbabit.

Sesi minum itu bertukar pertengkaran apabila suspek bertindak mencekik serta menghentak kepala bapanya ke dinding dan lantai konkrit setelah tidak berpuas hati dengan tindakan bapanya dalam mengagihkan hasil jualan sawit pada pagi hari tersebut.

Sekitar jam 8.35 malam hari sama, pihak polis turut menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memaklumkan bahawa mangsa yang cedera parah telah meninggal dunia sekitar jam 7.30 malam hari sama.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 8.40 malam, 10 Mac lalu, sepa­sukan polis dari Balai Polis Batu Niah telah pergi ke rumah panjang berkenaan un­tuk menangkap suspek bagi membantu siasatan polis yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tempoh reman ke atas suspek akan tamat pada 18 Mac ini.