M’sia tidak ketinggalan dalam pengantarabangsaan IPT

0

KUCHING: Pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi (IPT) yang lebih luas sedang dipacu oleh kebanyakan kerajaan di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Dengan inisiatif kerajaan untuk meliberalisasikan industri pengajian tinggi negara, maka kita telah melihat banyak universiti luar negara yang me-nubuhkan cawangan kampus di negara ini.

Malah, terdapat juga peningkatan bilangan IPT tempatan yang meneroka kerjasama dengan universiti luar negara untuk menawarkan program-program mereka di dalam negara.

Di Sarawak misalnya, mempunyai dua universiti Australia yang telah menubuhkan cawangan kampus untuk menyediakan pengalaman pendidikan antarabangsa kepada pelajar tempatan.

Kemudian, Kolej I-System Kuching menambah senarai IPT tempatan yang meneroka perkongsian kerjasama antarabangsa apabila baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan London South Bank University.

Upacara tersebut disempurna-kan oleh Dekan Eksekutif Fakulti Penjagaan Sosial dan Kesihatan London South Bank University Profesor Judith Ellis dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kolej I-System Datuk John Tiong sambil disaksikan oleh Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur (MASJA) di sini.

Dengan MoU ini, kedua-dua penyedia pendidikan tinggi itu bersetuju untuk bekerjasama bagi meneroka model-model daripada pelbagai penjagaan kesihatan berkaitan pembangunan pendidikan dan membangunkan peluang untuk pertukaran akademik serta berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing.

Menurut Tiong, kerjasama dengan London South Bank University akan menjadi platform bagi I-System untuk melahirkan graduan perubatan yang berkualiti.

“Itu sebabnya kami mahu bekerjasama dengan tenaga pengajar dari negara luar yang memiliki rekod melatih pelajar yang berkaliber agar graduan I-System berpeluang mengisi peluang pekerjaan kejururawatan di hospital kerajaan dan swasta,” katanya.

Selain itu, Tiong berkata I-System turut menubuhkan Unit Penempatan bagi membantu mengatasi masalah kesukaran graduan mereka untuk mendapat pekerjaan.

“Keadaan sekarang sudah semakin pulih (kesukaran mendapat pekerjaan di kalangan graduan) di mana kerajaan sudah membuka peluang kepada mereka untuk mengisi kekosongan jururawat di hospital,” katanya.

Sementara, Dr Jerip berkata kerjasama antara I-System dengan London South Bank University akan memberi kelebihan kepada graduan untuk memiliki sijil yang lebih diiktiraf dan diterima dalam bidang kejururawatan.

“Sudah tentu agretasinya lebih kukuh kerana London South Bank University sudah terbukti berjaya di UK selain mereka menyediakan kira-kira 20 peratus frateniti kejururawatan di UK.

“Kualiti itu ada dan kita mahu memastikan mereka yang keluar dari kolej kejururawatan ini memiliki kualiti latihan serta kemahiran komunikasi,” katanya.

Fakulti Penjagaan Sosial dan Kesihatan London South Bank University memiliki reputasi cemerlang bagi kajian, latihan dan pendidikan profesional dalam bidang kejururawatan, kerja sosial dan profesion yang berkaitan kesihatan dan perubatan.

Kumpulan Kolej I-System menawarkan kejurawatan, pembantu perubatan, pengimejan perubatan, pengurusan hotel dan program kesihatan bersekutu lain.