Pengamal media sosial, belia, blogger adakan program rapat hubungan

0
GAMBAR KENANGAN: Para peserta Program Santai Pengamal Media Sosial Bersama Belia dan Para Blogger bergambar bersama setelah tamat program tersebut.

GAMBAR KENANGAN: Para peserta Program Santai Pengamal Media Sosial Bersama Belia dan Para Blogger bergambar bersama setelah tamat program tersebut.

KUCHING: Program Santai Pengamal Media Sosial Bersama Belia dan Para Blogger telah diadakan di salah sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan merapatkan hubungan pengamal media dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak khususnya.

Acara tersebut memberi kesedaran mengenai pelbagai aspek seperti keselamatan kata laluan dan penyampaian melalui pelbagai media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Program yang julung kali diadakan di negeri ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Media Sosial Sarawak (SSMA) bersama Wan Abdillah Edruce sebagai presidennya.

Menurut Wan Abdillah, terdapat tiga aspek yang penting dalam media sosial iaitu membangunkan garis komunikasi yang berkesan, menggalakkan rangkaian ke arah politik untuk kemakmuran dan untuk penyelesaian praktikal sosial di kalangan aktivis siber.

“Saya berharap perhimpunan kali ini akan memberikan pemahaman yang lebih baik antara warga Sarawak dan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia selain dapat bekerja sebagai satu pasukan sejajar dengan slogan ‘One Voice One Love’,” katanya.

Di samping itu pihak penganjur bercadang mengadakan program yang bermanfaat sebegini di tempat lain memandangkan Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar.