Penulis petisyen perlu kemudahan sesuai

0
KHIDMAT DIPERLUKAN: Saibi menjalankan perkhidmatan dengan membantu mengisi borang permohonan serta mengambil dan mencetak gambar di dalam gerai yang dibinanya sendiri di pekarangan Kompleks Persekutuan Jalan Simpang Tiga, Kuching.

KHIDMAT DIPERLUKAN: Saibi menjalankan perkhidmatan dengan membantu mengisi borang permohonan serta mengambil dan mencetak gambar di dalam gerai yang dibinanya sendiri di pekarangan Kompleks Persekutuan Jalan Simpang Tiga, Kuching.

KUCHING: Para penulis petisyen yang menyediakan perkhidmatan perkeranian am di pekarangan Kompleks Persekutuan di Jalan Simpang Tiga memohon pihak berkaitan menyediakan kemudahan yang sesuai bagi mereka menjalankan aktiviti masing-masing.

Meskipun tampak serba kekurangan dari segi kemudahan serta tempat menjalankan perkhidmatan, mereka sebenarnya memberi perkhidmatan penting terutama kepada golongan kurang memahami cara-cara mengisi borang.

Ini terutamanya yang berkaitan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia seperti borang permohonan pasport, kad pengenalan dan perkahwinan selain menasihati mereka mengenai proses seterusnya.

Menurut salah seorang yang menjalankan perkhidmatan tersebut Saibi Kasim pada masa sekarang operasi perkhidmatannya yang dijalankan di dalam gerai yang dibinanya sendiri.

“Kami tidak kisah jika dikenakan sewa yang berpatutan bagi menjalankan perniagaan yang berbentuk khidmat masyarakat bagi keselesaan para pelanggan,” ujar Saibi ketika ditemu ramah di gerainya semalam.

Beliau yang kini berusia 62 tahun telah menjalankan perkhidmatan perkeranian am dan mengambil gambar sejak 25 tahun lalu.

“Saya merupakan antara yang pertama menceburi bidang ini sejak kamera cetak segera mula diperkenalkan pada 1986,” jelasnya.

Saibi yang sebelum ini bekerja dalam sektor pembinaan membuka gerainya setiap hari bekerja bermula dari jam 7 pagi hingga 4 petang.

“Setiap perkhidmatan mengisi borang dikenakan bayaran RM5 manakala bagi mengambil dan mencetak gambar dikenakan bayaran RM10 untuk enam keping gambar.

“Kadang-kadang saya memberi diskaun kepada pelanggan tertentu terutama bagi mereka yang datang dari luar kawasan Kuching,” katanya yang memahami kepayahan mereka yang datang dari jauh untuk membuat sesuatu permohonan.

Selain itu Saibi tidak mengenakan sebarang bayaran kepada para pelanggan yang ingin mengisi borang atau mangambil gambar bagi tujuan membuat permohonan untuk menunaikan haji atau umrah sebagai amalan sedekah beliau.

“Kadang-kadang jumlah pelanggan yang memerlukan khidmat kami boleh mencecah sehingga 50 orang pada satu hari terutama menjelang cuti sekolah dan cuti umum,” tambahnya yang menjelaskan hanya 10 orang pelanggan yang mengunjungi gerainya pada kebiasaannya.

Di samping itu, Saibi turut memberi peluang kepada belia terutama lepasan sekolah yang ingin menceburi bidang yang sama dengan mengambil mereka bekerja untuk menimba pengalaman.

“Saya berpendapat perkhidmatan kami masih diperlukan dan akan bertahan lama kerana kami mendapati para pelanggan masih memerlukan khidmat serta menggalakkan kami meneruskan operasi bagi membantu para pemohon lain kelak,” ujarnya.