Penyetaraan pangkat naik semangat tentera, polis

0

KUCHING: Keputusan kerajaan menyetarakan pangkat anggota tentera dan polis dengan gred perkhidmatan awam lain diyakini akan menaikkan semangat anggota pasukan keselamatan itu untuk terus mempertahankan negara daripada pelbagai ancaman.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sarawak Spencer Birai berkata penyeragaman itu juga membuktikan kerajaan mengiktiraf sumbangan anggota pasukan keselamatan.

“Ia juga membuktikan kerajaan serius mahu membela kebajikan anggata pasukan keselamatan… ini sudah tentu akan menaikkan semangat mereka untuk terus berjuang untuk negara.

“PBTM Sarawak menyambut baik khabar gembira itu dan amat berterima kasih dengan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) agar pangkat-pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disetarakan dengan perkhidmatan awam lain selaras dengan lapisan gred jawatan atau gred gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan menyeragamkan pangkat polis dan tentera dengan penjawat awam persekutuan lain berkuat kuasa 1 Januari 2013.

Spencer menambah, kesetaraan gred atau lebih tinggi lagi daripada yang dinikmati penjawat awam lain memang patut diberikan kepada anggota tentera memandangkan tentera mempunyai profesion tersendiri dan bertugas 24 jam sehari menjaga keamanan negara.

Dalam pada itu beliau berharap dengan pengumuman itu Perdana Menteri akan mempertimbangkan kenaikan gaji untuk anggota tentera yang sudah bersara memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Najib mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kelmarin.

Beliau berkata kenaikan gred bagi pegawai dan anggota tentera serta polis disetarakan dengan perkhidmatan awam dalam Sistem Saraan Baharu (SSB).

Najib menambah, pelarasan yang dinamakan Sistem Saraan Transformatif (SST) itu akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai sebelum ini.

Pelarasan gaji bagi ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) katanya berkuat kuasa 1 Januari lalu, bakal memberi manfaat kepada 233,192 anggota pasukan keselamatan di seluruh negara iaitu 109,209 PDRM dan 123,983 ATM.

“Pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selepas perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji,” katanya.