PVTMS bahas, lulus 11 usul dirujuk kepada k’jaan negeri, persekutuan

0

SIBU: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) telah membahaskan dan meluluskan 11 usul pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kedua untuk dibawa serta dirujuk kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

Antara lain, veteran memohon kerajaan menamakan Jalan Pahlawan di sini kepada Jalan Pahlawan Temenggung Datuk Kanang Langkau.

Usul ini dikemukakan oleh Arifin Aba dari Rejang dengan alasan bagi mengenang jasa pahlawan negara yang dilahirkan di Sarawak.

Usul lain termasuk memohon kerajaan membayar permohonan khairat kematian dan bencana alam kepada veteran ATM dalam tempoh sebulan.

“Diperlukan bantuan kewangan dengan kadar segera dan veteran ATM kebanyakan tidak ada pendapatan tetap, pendapatan sampingan yang rendah dan tidak ada wang simpanan tetap,” kata Abdul Wahab Moris dari Belawai.

Sementara Ideris Adam (Sibu) memohon kepada kerajaan agar menaikkan sara hidup minimum RM300 sebulan kepada veteran ATM yang tidak berpencen dan berumur 65 tahun ke atas atau kepada balu-balu veteran.

Ini katanya, berikutan kenaikan harga barang keperluan dan untuk meringankan beban kehidupan.

Gerard Jarit Majah (Mukah) pula memohon kerajaan negeri memberi lot kediaman atau rumah e-Kasih di mana-mana kawasan di negeri ini kepada veteran ATM yang layak.

“Ini untuk mengenang jasa bakti kesetiaan dan pengorbanan mereka mempertahankan negara mahupun negeri semasa berkhidmat.

“Selain itu, harga rumah kini terlalu mahal dan tidak mampu untuk memilikinya,” kata beliau.

Sementara itu, Abu Bakar Janel (Kanowit) memohon kerajaan negeri memberi pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sarawak kepada veteran yang berjasa kepada negeri mahupun negara.

Menurut Abu Bakar, ia bagi memperingati jasa bakti veteran ATM atas kesetiaan dan pengorbanan untuk negara mahupun negeri semasa mereka berkhidmat, selain untuk menghargai khidmat yang cemerlang kepada masyarakat mahupun negeri selepas menamatkan perkhidmatan.