Sarawak tidak akan diceroboh

0
MESRA: Manyin bersalaman dengan para peserta Majlis Randau Pembangunan dan Kesejahteraan Keluarga Daerah Kecil Tebedu 2013 di Dewan Masyarakat Tebedu semalam.

MESRA: Manyin bersalaman dengan para peserta Majlis Randau Pembangunan dan Kesejahteraan Keluarga Daerah Kecil Tebedu 2013 di Dewan Masyarakat Tebedu semalam.

TEBEDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dato Sri Michael Manyin Jawong yakin sempadan Indonesia-Sarawak (Kalimantan-Tebedu) selamat dan tidak akan dicerobohi oleh pihak ber-kepentingan sebagaimana yang terjadi di Lahad Datu baru-baru ini.

Beliau berkata kita di sini tidak akan digugat oleh mana-mana pihak kerana di sana (Lahad Datu) mereka mahukan hak milik sedangkan kita sewaktu pemerintahan British dan Belanda telah memutuskan sempadan.

Bagaimanapun beliau tetap menasihati rakyat agar sentiasa berwaspada walaupun yakin pertelingkahan sedemikian tidak akan berlaku di sini.

“Setakat ini terdapat masalah tetapi bukan di sini dan biasanya pihak kita menggunakan undang-undang negara untuk menyelesaikannya dengan cara baik.

“Seingat saya dahulu, pertelingkahan antara Bidayuh dan Madura (di Kalimantan) berlaku pada 1997/98, saya datang dengan pihak polis tetapi yang pasti jangan kita masuk campur dan menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya cuba bersikap berkecuali,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Randau Pembangunan dan Kesejahteraan Keluarga Daerah Kecil Tebedu 2013 di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan turut menyakini perkara itu tidak akan berlaku ekoran ramai kalangan penduduk Tebedu mempunyai sanak-saudara yang tinggal berdekatan sempadan.

“Kadang-kadang terdapat 20 atau 30 daripada keluarga mereka dari sempadan akan datang melawat menggunakan pas pelawat dan mereka memang mematuhi peraturan negara.Mereka guna pas juga untuk tinggal di kampung,” jelasnya.

Selain itu, keutuhan rakyat di sempadan Tebedu-Kalimantan sentiasa erat ekoran Majlis Malam Titian yang diadakan bagi meraikan kedua-duanya.

“Tahun lepas, kita buat di sini dan ramai pula rakan dari Sanggau dan Balai Kerangan yang datang untuk turut serta.

“Tahun ini, kita akan adakan di Sangan kerana ini cara kita eratkan perhubu-ngan dua hala Indonesia-Sarawak,” ujarnya.

Keuntungan daripada perhubungan dua hala ini akan dimanfaatkan bersama seperti yang pernah diamalkan Tun Dr Mahathir suatu ketika dahulu, jelas beliau.