Akauntan Bumiputera masih kurang

0

K’jaan sedia tambah pelajar Bumiputera dalam program ACCA jika dapat sambutan

KUCHING: Kerajaan negeri bersedia mempertimbang untuk meningkatkan jumlah pengambilan pelajar Bumiputera yang menyertai program Skim Pendidikan dan Latihan ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) jika ia mendapat sambutan memberangsangkan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, program kerjasama Kolej Sunway Kuching bersama Yayasan Sarawak dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu akan mengambil 30 pelajar lepasan sekolah sebagai perintis pada tahun ini.

“Memandangkan ia program perintis kami akan melihat ia terlebih dahulu, bagaimana maklum balas daripada pelajar mengenai program ini.

“Selain itu terdapat program seperti jerayawara diadakan bagi mempromosikan program ini khasnya selepas sahaja keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksian Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sarawak, Kolej Sunway Kuching dan TERAJU yang dihadiri Pengarah Kanan Pengurusan Pelaburan TERAJU Norizan Saharif, Pengarah Yayasan Sarawak Mohd Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Sunway Kuching Joseph Lim di sini, semalam.

Kerjasama itu merupakan satu perjanjian sebagai antara sokongan yang akan diberikan kepada pelajar Bumiputera Sarawak yang berkelayakan dan seramai 30 dipilih mengikuti program selama setahun yang memberi peluang kepada mereka mengikuti kursus CAT dan ACCA.

Len Talif berkata, usaha sama perkongsian pintar itu membantu kerajaan negeri mencapai objektifnya iaitu melahirkan modal insan terutama dalam bidang perakaunan.

Kerajaan ujar beliau, amat mengalu-alukan perkongsian pintar sedemikian yang turut disokong sektor swasta seperti kolej bagi menyahut seruan kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga kerja termasuk profesional.

“Kerjasama seperti ini diharapkan dapat melahirkan ramai Bumiputera dalam bidang perakaunan profesional memandangkan hanya 12.3 peratus Bumiputera berada dalam bidang profesional akauntan,” tegasnya.

Pada masa yang sama Len Talif memberitahu, Sarawak masih memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separa mahir bagi memenuhi peluang tenaga kerja yang amat besar pada 2030 melalui Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Sementara itu Norizan dalam ucapannya berkata, dalam perkongsian pintar itu TERAJU bersama Kolej Sunway Kuching akan bekerjasama dalam memilih dan menempatkan pelajar bersesuaian dan berkelayakan yang telah lulus dengan jayanya dalam program CAT kepada majikan.

Beliau berharap kerjasama antara semua pihak dapat diteruskan dan menjadi perintis dalam melahirkan modal insan terutama Bumiputera kepada pembangunan Sarawak.

“Pada tahun 1970 hanya seramai 221 Bumiputera dalam lapan bidang profesional termasuk akauntan, peguam, doktor dan sebagainya namun kini lebih 80,000 Bumiputera dalam bidang-bidang itu.

“Ini menunjukkan pencapaian namun ia belum mencukupi kerana masih ada bidang yang Bumiputera masih ketinggalan,” tambahnya sambil memberitahu ia termasuk bidang perakaunan.