Jalan Tebedu dinaik taraf standard R5

0

SEMATAN: Kerajaan merancang menaik taraf Jalan Tebedu kepada standard R5 dalam usaha melonjakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan perindustrian Tebedu yang meliputi kawasan seluas 150 hektar.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata Tebedu merupakan kawasan tunggal di Malaysia yang menawarkan kemudahan pelabuhan darat.

Jelasnya, dengan lebih daripada 400 treler besar melalui jalan ini menuju ke Pelabuhan Darat Tebedu dalam kawasan perindustrian Tebedu, maka rancangan untuk menaik taraf jalan raya ini dilihat sebagai satu langkah yang perlu dan bijak.

“Pelabuhan Darat Tebedu merupakan satu-satunya di Malaysia. Pelabuhan-pelabuhan lain semuanya membabitkan sungai atau laut dan Sarawak mempunyai tiga pelabuhan sungai iaitu Kuching, Rajang dan Baram serta tambahan dua pelabuhan yang telah diluluskan iaitu Tanjung Manis dan Samalaju,” kata Manyin.

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada lawatan kerja terhadap Projek Pembinaan Jalan dan Jambatan Biawak di sini semalam.

Tambah Manyin, sebagai wakil rakyat dan menteri bertanggungjawab, rancangan untuk menaik taraf Jalan Tebedu dan kawasan perindustrian Tebedu amnya tidak hanya dilihat berdasarkan keperluan sebelah pihak.

“Saya perlu melihat Sarawak secara keseluruhannya serta kepentingan bersama. Terdapat banyak kawasan di Sarawak yang belum dapat dihubungkan dan perlu dilihat oleh kerajaan.

“Saya melihat perkara ini dari semua sudut di Sarawak dan yang mana lebih penting akan didahulukan untuk perancangan yang adil dan tidak ada mana-mana rakyat yang tertinggal,” katanya.

Jelas Manyin lagi, Indonesia tidak mempunyai kemudahan pelabuhan yang baik di Pontianak dan kebanyakan produk seperti hasil kelapa sawit, getah dan lain-lain diangkut ke Sarawak melalui Pelabuhan Senari atau Kuching.

“Tebedu bakal memiliki lebih banyak industri besar dan saya berharap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan meningkatkan aktiviti promosi bagi menarik kemasukan pelabur asing ke Tebedu,” jelas Manyin.

Manyin dalam pada itu tidak menafikan berhadapan dengan pelbagai kesulitan ketika awal pelaksanaan kawasan perindustrian dan Pelabuhan Darat Tebedu.

Namun katanya, semua persepsi negatif dan kesulitan-kesulitan yang dihadapi pada awalnya kini berjaya ditepis dan telah menampakkan hasil yang memberangsangkan kepada semua pihak sama ada kerajaan negeri, penggiat industri mahupun penduduk dari Indonesia.