Kereta terbakar, pemandu rentung

0
PIHAK bomba mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di dalam kenderaannya.

PIHAK bomba mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di dalam kenderaannya.

TAWAU: Seorang pelajar Kolej Komuniti Tawau maut dalam keadaan mengerikan selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbakar selepas melanggar tiang lampu di pembahagi jalan tengah di Batu 3 ½ Jalan Apas di sini petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata mangsa yang terlibat di dalam kemalangan pada kira-kira jam 3.50 petang itu dikenali sebagai Mohd Nizam Kasim, 21, dan beralamat di Taman Kinabutan Ria, Batu 5 Jalan Apas.

“Mangsa terperangkap di dalam kereta yang dipandunya sendiri dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terbakar di seluruh anggota badannya,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Menurut Awang, mangsa yang dipercayai memandu dari arah Hospital Tawau menuju ke rumahnya disyaki gagal mengawal kenderaannya hingga hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu lalu terbakar.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.