Site Last Updated 3:38 pm, Wednesday

Internet perluas jaringan, akses bahan bacaan

by Mahathir Haroun. Posted on March 17, 2013, Sunday

Perpustakaan desa harus dilengkapi kemudahan Wi-Fi untuk memudahkan pembacaan, kata Fadillah

KUCHING: Perpustakaan desa perlu dilengkapi kemudahan Internet untuk memastikan jalinan dengan perpustakaan besar dapat dilakukan terutama melibatkan akses bahan bacaan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata, sekiranya usaha itu direalisasikan, orang ramai boleh mengakses bahan bacaan di perpustakaan negeri atau perpustakaan negara.

Selain itu, menurutnya, jalinan seperti itu juga dapat menjimatkan ruang penyimpanan buku perpustakaan desa.

“Kalau boleh bekalkan Internet menerusi kemudahan Wi-Fi kepada semua perpustakaan desa.

“Ia penting agar jalinan dengan perpustakaan lain dijalankan untuk memperluas koleksi bacaan,” katanya berucap merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Sungai Bedil Besar, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, pada masa ini pelbagai bahan rujukan dan informasi terdapat di Internet.

“Pada masa sama maklumat yang diperolehi menerusi Internet perlu ditapis kerana banyak ancaman di alam siber yang boleh menggugat nilai murni,” ujarnya.

Menurut Fadillah, Perpustakaan Desa Kampung Sungai Bedil merupakan perpustakaan desa terbesar di negeri ini yang menghimpunkan 1,007 bahan bacaan.

“Penubuhan perpustakaan desa ini merupakan usaha murni kerajaan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan amalan pembelajaran sepanjang hayat,” jelasnya.

Perpustakaan Desa Kampung Sungai Bedil Besar adalah projek khas yang dibangunkan pada tahun 2011.

Ia dilengkapi pelbagai bahan bacaan yang terdiri daripada pelbagai subjek selain mampu memberi akses kepada masyarakat setempat dalam memperoleh maklumat.

Hadir sama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Datuk Raslin Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dan Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Raslin dalam ucapannya berkata, budaya membaca di kalangan masyarakat biasanya akan menurun selepas mereka menamatkan persekolahan dan pengajian di universiti.

Menurut beliau, kajian pihaknya mendapati kebanyakan golongan dewasa tidak begitu berminat membaca, walhal membaca sepatutnya terus diamalkan untuk meneruskan pengajian sepanjang hayat secara tidak rasmi.

“Memang hampir semua masyarakat di Malaysia boleh membaca, namun tidak ramai mengamalkan budaya membaca.

“Biasanya selepas tamat sekolah atau pengajian di universiti, amalan ini (membaca) dipinggirkan,” katanya.

Raslin berkata, amalan membaca perlu terus diamalkan masyarakat secara keseluruhannya bagi memastikan pengetahuan berterusan diperolehi.

Malah, menurutnya, tidak membaca kerana ketiadaan perpustakaan di kawasan masing-masing terutama di luar bandar bukan alasan terbaik.

“Ini kerana kerajaan sudah mewujudkan 1,121 perpustakaan di seluruh negara dan 207 perpustakaan desa di Sarawak.

“Ia merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan amalan ini terus dipraktikkan setiap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo berkata, amalan membaca sangat penting untuk menambah ilmu pengetahuan.

“Adalah rugi kalau kita tidak membaca kerana pada masa ini kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan,” jelasnya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.