Kemudahan sukan di Saratok

0

Pembinaan stadium tertutup serta fasiliti sukan lain diperlukan, kata Mawan

MESRA RAKYAT: Mawan dan Jelaing bersama pasukan MPOB Saratok yang muncul juara pertandingan senamrobik di Saratok.

MESRA RAKYAT: Mawan dan Jelaing bersama pasukan MPOB Saratok yang muncul juara pertandingan senamrobik di Saratok.

SARATOK: Masyarakat di sini bakal menikmati kemudahan infrastruktur sukan dan reakrasi lebih lengkap dan selesa menjelang fasa kedua pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom berkata hasil maklum balas dan reaksi yang diberikan oleh masyarakat setempat ternyata kemudahan seperti pembinaan sebuah stadium tertutup dan berbumbung serta lengkap dengan fasiliti lain amat diperlukan di kawasan ini.

“Dalam perancangan awal, kita menganggarkan akan membina sebuah stadium yang serba lengkap di kawasan ini dan dijangka menelan belanja sekitar RM10 juta.

“Sungguhpun demikian satu kertas kerja dan kajian yang terperinci terhadap pelaksanaan kemudahan ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini,” katanya pada program Senaman Perdana 1Malaysia di Dataran Krian, di sini semalam.

Aktiviti itu dianjurkan oeh Kelab Sukan Komuniti (KSK) Kalaka dengan kerjasama Jawatankuasa Sukan, Belia dan Sosial MDS, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Saratok serta Pemuda Pemudi Barisan Nasional (BN) Saratok.

Sekitar 2,500 orang terdiri daripada 40 pasukan merangkumi jabatan kerajaan, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah menyertai aktiviti itu.

Menurut Mawan, melalui pembinaan kemudahan seperti itu nanti diharapkan mampu melahirkan lebih banyak golongan belia dari daerah ini yang cemerlang dalam bidang sukan.

Berdasarkan prestasi dan pencapaian semasa, katanya, kita lihat golongan belia dari daerah ini telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelbagai bidang sukan.

“Pada setiap kali ada penganjuran di peringkat bahagian, kita lihat pasukan dari daerah Saratok merupakan pasukan digeruni malah kerap muncul juara.

“Ini membuktikan bahawa golongan belia di daerah ini amat berpotensi maju dalam bidang sukan, walaupun berada dalam situasi kekurangan tetapi dengan azam dan semangat perjuangan kukuh telah memberi keyakinan kepada kita untuk melaksanakan projek terbabit yang memberi impak memberangsangkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Saratok, Jelaing Mersat berkata penganjuran aktiviti seperti itu sewajarnya dipergiatkan pada masa hadapan.

“Melalui program ini, kita yakin mampu mempererat hubungan masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang melibatkan segenap lapisan umur.

“Kita sentiasa menyokong setiap penganjuran program seperti ini dan menyeru kepada semua kelab sukan dan pertubuhan agar berganding bahu dalam merealisasikan matlamat ini demi untuk kebaikan bersama,” kata Jelaing.

Dalam aktiviti itu turut diadakan senamrobik, cabutan tiket bertuah, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta pentas hiburan.

Pada pertandingan Senaman Perdana 1Malaysia, pasukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Saratok muncul juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700.

Tempat kedua dimenangi pasukan Peterian A dengan hadiah RM500, ketiga dimenangi pasukan ‘I Love Saratok’ dengan hadiah wang tunai RM300.