SIBU: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Lanang, George Chen berpendapat golongan atas pagar memainkan peranan penting sebagai penentu kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Saya berpendapat 30 peratus pengundi berdaftar merupakan penyokong tegar Barisan Nasional (BN), manakala 30 peratus lagi memihak kepada Pakatan Rakyat (PR).
“Sementara itu, 40 peratus lagi pengundi adalah golongan atas pagar,” katanya di sini.
Beliau berkata, jumlah undi tersebut merupakan penentu sebenar nasib negara yang membawa pelbagai perubahan.
Justeru, Chen mengesan sebanyak 40 peratus golongan atas pagar ini datang mengundi dengan bijak pada PRU13 nanti.
Beliau juga mengingatkan supaya mereka menilai sendiri manifesto PR yang dilancarkan baru-baru ini.
“Manifesto tersebut antara lain menyentuh tentang rancangan untuk menawan Putrajaya dan apabila misi itu berjaya harga petrol akan diturunkan untuk manfaat semua orang.
“Selain itu, yuran pendidikan juga akan dikecualikan sehingga ke peringkat universiti,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak juga akan mempunyai peluang untuk mengkaji semula 18 mata dan 20 mata hak tertentu untuk mencapai kuasa autonomi.
Manifesto tersebut, katanya, turut membatalkan rancangan kerajaan mengenai Pemasangan AES yang dilihat lebih kepada menguntungkan kroni BN.
Tambah Chen, kebanyakan murid-murid di sekolah rendah Cina pada hari ini adalah kalangan kaum Iban.
Oleh itu, Sijil Cina Bersepadu harus diiktirafkan oleh kerajaan kerana ia akan memberi manfaat kepada kaum-kaum lain selain masyarakat Cina.
“Pilih kerajaan yang betul-betul untuk memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi masa depan kita,” katanya.