Urus tadbir berkesan jadikan Malaysia negara Islam contoh

0

KUCHING: Keberkesanan sistem urus tadbir yang dilaksanakan kerajaan walaupun memiliki masyarakat berbilang kaum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh kepada negara Islam yang lain.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata, meskipun menghadapi cabaran global dan tekanan ekonomi dunia, namun hasil komitmen kerajaan menerusi program yang diperkenalkan membolehkan kegiatan ekonomi dalam negara tidak terjejas.

“Sekarang, pelbagai rintangan yang kita hadapi di dunia siber ini, tetapi melalui urus tadbir dengan menyerapkan nilai-nilai murni dalam Islam membolehkan masyarakat hidup dalam keadaan selesa dan aman.

“Malah, Malaysia telah diikhtiraf sebagai sebuah negara Islam contoh kerana berjaya mengurus tadbir rakyat dan negara walaupun mempunyai latar belakang rakyat yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid Peringkat Bahagian Kuching di Dewan Akademi Kastam di sini malam.

Pada masa sama, Fadillah menasihati agar rakyat terus mengekalkan dan memelihara perpaduan bagi mengelak perbalahan atau perpecahan berlaku yang boleh merosakkan kestabilan dan keamanan negara.

Pada majlis tilawah itu, Hadi Mohd Sharkawi (qari) dan Norhashimah Marzuki (qariah) akan mewakili Bahagian Kuching dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang diadakan di Mukah dari 16 hingga 19 April nanti.

Sementara itu, kumpulan Suara Istiqomah dan Aye-Man pula masing-masing mewakili Bahagian Kuching dalam kategori nasyid moden dan tradisi di peringkat negeri bagi pertandingan nasyid.

Hadir sama Residen Bahagian Kuching selaku pengerusi pengelola Abdul Rahman Sebli Senusi dan tetamu kehormat lain.