Pindaan akta untuk tingkat tahap keselamatan negara

0

KOTA KINABALU: Bagi meningkatkan tahap kesalamatan negara yang membabitkan kemasukan pedagang warga asing, Jabatan Imigresen Malaysia melaksanakan beberapa perubahan terhadap Akta Imigresen 1959/63.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata perubahan akta itu melibatkan pedagang warga asing yang melakukan perniagaan pertukaran barangan di negeri ini.

Katanya, ia melibatkan beberapa perkara yang membabitkan tekong dan anak kapal jenis kumpit daripada negara Filipina.

“Bermula hari ini (kelmarin) dan 15 April depan, perubahan dalam akta ini mewajibkan setiap tekong dan anak kapal kumpit yang berlabuh di negeri ini dan Wilayah Persekutuan Labuan memiliki pasport antarabangsa atau buku pelaut.

“Sebelum ini, kapal kumpit daripada Filipina yang diperbuat dari kayu sepanjang 30 hingga 40 kaki dibenarkan mendarat di jeti negeri ini.

“Mereka hanya menggunakan Kad Pengesahan Pelaut (SIC) tanpa perlu memiliki dua dokumen terbabit,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, maksimum tempoh kebenaran untuk anak-anak kapal berlabuh atau berurusan di Sabah adalah selama tujuh hari sahaja tanpa ada tempoh lanjutan.

Alias berkata, mereka juga tidak dibenarkan sama sekali berpindah ke kapal kumpit yang lain sehingga mereka pulang semula ke Filipina. Kedua-dua perubahan yang dilakukan itu di bawah Akta Imigresen yang bermula kelmarin.

Selain itu katanya, bagi pelaksanaan pada 15 April depan, setiap juragan dan anak kapal diwajibkan untuk memiliki pasport antarabangsa atau buku pelaut.

Katanya, Jabatan Imigresen juga akan membatalkan penggunaan SIC yang dipraktikkan sebelum ini.

Alias berkata, tujuan pindaan Akta Imigresen itu adalah bagi mengetatkan lagi kawalan aliran masuk warga asing di pintu masuk negara ke negeri ini terutama menerusi laluan laut seperti di Sandakan, Tawau dan Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, kehadiran kapal kumpit ke negeri ini dilihat berpotensi melakukan penyeludupan barangan, pemerdagangan orang serta yang lebih merbahaya apabila kumpulan nelayan itu menggunakan kesempatan untuk menyeludup senjata api.

Beliau berkata, ada di antara kapal kumpit itu datang ke negeri ini secara kosong, tetapi membeli barangan di negeri ini untuk dijual di negara jiran itu dengan harga yang berlipat kali ganda.

Katanya, sebanyak 18,388 anak kapal kumpit yang hanya menggunakan SIC untuk melakukan perniagaan bertukar barangan dagangan pada tahun lalu dan jumlah kapal kumpit yang mendarat di negeri ini sebanyak 1,768 pada tahun sama.

Sehubungan itu katanya, pemindaan akta itu dilihat mampu meningkatkan tahap kawalan keselamatan negara terhadap kemasukan warga asing ke negeri ini tanpa memiliki sebarang dokumentasi sah.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) negeri, Ismail Ali dan Ketua Bahagian Pekerja Asing Imigresen negeri, Hamdan Amat @Ahmad.