Rakyat perlu turun mengundi beramai-ramai pada hari pengundian

0

JULAU: Rakyat di sini yang menjadi penyokong kuat Barisan Nasional (BN) perlu turun mengundi beramai-ramai pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata ini adalah peluang terbaik mereka untuk menunjukkan sokongan dan kesetiaan kepada kerajaan BN selama ini.

“Pilihan adalah di tangan diri sendiri untuk menentukan siapa yang akan menjadi wakil mereka dalam masa lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program gotong-royong membina sebuah tandas untuk kegunaan para ibu bapa dan pelawat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau di sini, petang kelmarin.

Program itu adalah sempena siri jelajah yang dianjurkan bersama oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TVi.

Terdahulu, Salang yang juga Ahli Parlimen Julau mengetuai program gotong-royong mengecat bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Alphonsos, Julau.

Kemudian, beliau mengadakan lawatan ke Rumah Jana Saweng sepanjang 74 pintu di Batu Matup, Julau bagi melancarkan TVi ‘i Di Hati’ bagi program rakaman persembahan kebudayaan yang dipersembahkan oleh penduduk rumah panjang itu.

Berucap pada program itu, Salang berharap kru TVi dapat kerap ke kawasan luar bandar di negeri ini untuk merakamkan aktiviti yang berkaitan dengan aktiviti siaran.

Ketua TVi Jauyah Yusof dalam ucapannya berkata, siri jelajah TVi itu adalah bertujuan mempromosikan stesen televisyen tersebut kepada penduduk luar bandar.

Beliau berkata ia akan disiarkan selama 15 minit bagi program ‘TVi Di Lokasi’ di kawasan luar bandar setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 11 malam untuk dua kali seminggu.

“Konsert besar-besaran anjuran TVi diadakan di Dewan Masyarakat Julau pada malam Sabtu (kelmarin) dan ia dirakamkan untuk disiarkan pada perayaan Hari Gawai Dayak akan datang,” katanya.