Land Cruiser termasuk ke gaung, pemandu warga emas maut

0
ACP Awang Besar Dullah

ACP Awang Besar Dullah

TAWAU: Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun meninggal dunia selepas kenderaan jenis Land Cruiser yang dipandunya terbabas dan termasuk ke gaung sedalam kira-kira 60 meter di Luasong di sini Ahad lepas sekitar jam 9 malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, mangsa dikenali sebagai Junaide Parose, warga tempatan yang bekerja di sebuah kawasan pembalakan di Kem Kuamut, Luasong.

“Kemalangan ini hanya disedari oleh pekerja di Kem Kuamut pada hari keesokannya sekitar jam 9 pagi,” katanya di sini kelmarin sambil mengesahkan mangsa hanya berseorangan di dalam kereta terbabit semasa insiden itu berlaku.

Awang berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan hasil siasatan juga menunjukkan mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Luasong ke Kem Kuamut sebelum kejadian itu berlaku.

Berdasarkan siasatan awal polis katanya, ketika tiba di lokasi kejadian kenderaan yang dipandu oleh mangsa disyaki telah hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan terjerumus ke dalam gaung di kawasan kem pembalakan terbabit.

“Struktur jalan di lokasi kejadian itu lurus dan berbatu kerikil, sementara suasana di sekitarnya pula gelap,” katanya sambil menambah, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.