Pemimpin PAS Kedah didakwa munafik

0

JITRA: Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah Datuk Mohd Johari Baharom menyifatkan pemimpin PAS Kedah munafik kerana mengaku 12 buah masjid yang dibina oleh kerajaan persekutuan, dibina oleh kerajaan negeri.

Beliau mendakwa sejak mengambil alih pentadbiran negeri Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, kerajaan negeri pimpinan PAS itu tidak membina walau sebuah masjid atau surau di negeri ini.

Katanya kerajaan negeri lepas tangan berikutan kerajaan persekutuan mengambil tanggungjawab melaksana 818 projek pembinaan, membaik pulih dan menaik taraf masjid, surau serta rumah-rumah ibadat kaum lain di seluruh Kedah dengan kos lebih RM74 juta sejak 2008.

“Kerajaan PAS Kedah lebih galak menebang balak dan melicinkan hutan-hutan manakala pembangunan syiar Islam diabaikan…kerajaan persekutuan membelanjakan lebih RM30 juta setahun (untuk memberi insentif kepada guru-guru agama dan pegawai-pegawai masjid),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan input pertanian di bawah ‘Program Touch Point’ Jabatan Perikanan di sini semalam.

Beliau mengulas buku ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ yang diterbitkan kerajaan negeri Kedah yang antara lain mengaku telah membina 12 buah masjid di seluruh negeri sejak 2008. Pada majlis itu seramai 29 orang pengusaha akuakultur menerima 25 bag makanan dan 3,510 ekor benih ikan tilapia/keli bernilai RM74,000 daripada Mohd Johari yang merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mengenai isu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) milik kerajaan negeri, beliau berkata tindakan pengurusan Kuin mengarahkan lebih 1,000 pelajar berpindah ke kampus baharu di Kuala Ketil tiga hari lepas sebagai tindakan tidak waras dan bijak kerana asrama pelajar belum siap.

Bagaimana Kuin hendak menampung kos pengangkutan pelajar berkenaan dari rumah sewa mereka yang dianggarkan RM1.48 juta sebulan sedangkan hutang termasuk tunggakan elaun dan gaji kakitangan gagal dilunaskan sehingga sekarang, katanya. — Bernama

“Amat malang bagi KUIN kerana kelemahan pentadbirnya bakal memberi kesan negatif terhadapnya setelah mendapat pengiktirafan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Sekiranya kerajaan persekutuan atau Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak campur tangan, KUIN pasti terjerumus dalam masalah besar,” katanya.

Baru-baru ini KPT    mendenda Kuin RM272,000 kerana mengambil 34 pelajar di bawah kelayakan syarat masuk yang ditetapkan dan hendaklah dibayar sebelum 26 Mac ini, dan jika gagal, secara automatik tanpa notis, tindakan undang-undang akan diambil terhadap KUIN.

Mohd Johari mahu rakyat membuat penilaian seadil-adilnya dan menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-13 akan datang kerana terbukti pakatan pembangkang tidak mampu mentadbir dan gagal memberi perkhidmatan terbaik. — Bernama