Sarawak tuan rumah Persidangan Laluan Penerbangan Asia, Mac 2014

0

KUCHING: Sarawak berjaya menewaskan beberapa negara lain untuk menjadi tuan rumah Persidangan Laluan Penerbangan Asia (ARC) pada Mac 2014.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, seramai 1,000 ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan dan pengurusan lapangan terbang seluruh Asia akan berhimpun di negeri ini buat pertama kali.

“Ini merupakan kejayaan bermakna kita selepas menghadapi cabaran bidaaan daripada Osaka, Hongkong dan Brisbane.

“Usaha ini adalah untuk membawa delegasi persidangan melihat sendiri potensi yang terdapat di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE5S) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) semalam.

Pada majlis itu, tiga syarikat – Empayar Setia Sdn Bhd, Akademi Hospitaliti & Pelancongan Saujana Sdn Bhd atau Kolej SATT dan SATT Training & Consultancy Services Sdn Bhd atau Dormani Hotel Kuching menerima pengiktirafan QE5S.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Persela Group of Companies Datuk Abdillah Abdul Rahim dan Pengurus MPC Wilayah Sarawak Izani Ishak.

Menurut Abang Johari, ARC tahun ini berlangsung di Mumbai dan majlis penyerahan hak tuan rumah pada tahun depan akan berlangsung hari ini.

“Kita akan bekerja rapat dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Kementerian Pengangkutan untuk menganjurkannya nanti,” ujarnya.

Selain ARC katanya, Sarawak juga menjadi hos Persidangan Pelancongan Asia (ATC) pada Januari tahun depan yang akan dihadiri Menteri Pelancongan daripada 10 negara.

“Tahun depan kita sangat sibuk, justeru kita mahu pengusaha hotel dan penyedia perkhidmatan hospitaliti membuat persediaan ketika acara berlangsung,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari berharap pemain industri pelancongan tempatan dapat merebut peluang untuk mewujudkan rangkaian dengan peserta asing yang menyertai persidangan di negeri ini.

Terdahulu beliau menjelaskan, kerja-kerja pemanjangan Tebingan Kuching sehingga ke muara Sungai Bintangor berjalan lancar.

“Ini merupakan usaha kita untuk mempopularkan perkampungan Melayu di sekitar kawasan itu,” katanya.

Malah menurutnya, kemudahan asas di perkampungan sekitar Jalan Ajibah Abol akan dinaik taraf namun rekaan unik dan tradisional rumah dikekalkan.