Syarikat kerugian RM20,000 selepas dipecah masuk

0

KUCHING: Sebuah syarikat di Sungai Maong, di sini mengalami kerugian lebih kurang RM20,000 dalam sebuah insiden pecah masuk yang disedari kelmarin.

Kejadian itu disedari oleh pemilik kedai sekitar jam 7.30 pagi ketika hendak memulakan perniagaan apabila mendapati pintu depan telah dirosakkan.

Antara barangan yang didapati hilang adalah beberapa unit komputer, mesin pencetak dan pemain kamera litar tertutup (CCTV).

Laporan polis telah dibuat untuk siasatan.

Sementara itu, seorang pekerja hotel diragut ketika sedang menaiki motosikal bersama suaminya di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, di sini.

Dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 11.30 pagi Ahad itu, sebuah motosikal tiba-tiba menghampiri motosikal mangsa yang bergerak dalam kelajuan perlahan itu dari arah belakang dan terus meragut rantai emas mangsa.

Mangsa serta suaminya dari Batu Kawa itu cuba mengejar motosikal jenis Yamaha itu namun gagal.

Kerugian dianggarkan berjumlah RM1,200 dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.