Pencapaian menggalakkan

0

Sarawak catat 35 calon dapat Cemerlang Tertinggi dalam semua mata pelajaran SPM

CEMERLANG: Fatimah menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang, Lim Li Ying dari SMK Kuching High sambil disaksikan Abdillah (tiga kiri) pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2012 di Kuching, semalam.

CEMERLANG: Fatimah menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang, Lim Li Ying dari SMK Kuching High sambil disaksikan Abdillah (tiga kiri) pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2012 di Kuching, semalam.

KUCHING: Sarawak mencatatkan pencapaian calon berprestasi cemerlang yang menggalakkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 dengan seramai 35 calon mendapat Gred A+ iaitu Cemerlang Tertinggi dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Negeri Abdillah Adam berkata, daripada jumlah itu seorang calon mendapat 12 A+ dalam semua mata pelajaran iaitu Ngu Lih Bin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Sibu.

Manakala, sembilan calon mendapat 11 A+, 18 calon meraih 10 A+ dan tujuh calon mencapai 9 A+ dalam semua mata pelajaran.

“Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam semua mata pelajaran pula ialah 835 orang berbanding 777 orang pada tahun 2011, iaitu peningkatan seramai 58 orang.

“Seorang calon Berkeperluan Khas (Buta), iaitu Sun Wan Ting dari SMK Batu Lintang, Kuching pula mendapat keputusan 3A, 2A-, 1B+, 1B dan 1E,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2012 yang dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di Jabatan Pelajaran di sini, semalam.

Abdillah turut memberitahu, empat buah sekolah melakar prestasi cemerlang dengan kelulusan 100 peratus semua mata pelajaran dalam SPM 2012, jumlah sama dengan tahun sebelumnya.

Sekolah-sekolah tersebut ialah SM Sains Kuching, SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains MARA Betong dan Maktab Rendah Sains MARA Mukah.

“SPM 2012 juga menampakkan 15 sekolah luar bandar mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam kelompok 50 buah sekolah berprestasi baik, berbanding 11 pada SPM 2011,” jelasnya.

Abdillah berkata, secara amnya pada tahun 2012, seramai 38,344 calon di Sarawak telah mendaftar untuk menduduki SPM dan daripada jumlah itu, 35,526 orang (92.65 peratus) adalah calon sekolah menengah kebangsaan.

Manakala, 321 orang (0.84 peratus) merupakan calon sekolah di bawah agensi selain Kementerian Pelajaran Malaysia, 652 orang (1.70 peratus) pula adalah calon sekolah swasta dan 1,845 orang (4.81 peratus) adalah calon persendirian.

Keputusan SPM 2012 juga menyaksikan seramai 31,795 atau 91.52 peratus daripada 34,742 calon sekolah menengah kebangsaan yang menduduki peperiksaan berjaya mendapat sijil SPM, iaitu memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Keputusan ini mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan iaitu 91.10 peratus dengan 0.42 peratus.

“Pencapaian calon di Sara-wak pada tahun ini mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) ialah 5.43,” kata beliau.