Kerajaan komited hapus kemiskinan

0

Pelbagai jenis bantuan disediakan ke arah miskin sifar 2020: Tiong

SIBU: Kerajaan komited untuk menghapuskan kemiskinan rakyat menjelang Wawasan 2020, kata Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King.

Menurutnya, pelbagai jenis bantuan disediakan serta diwujudkan oleh kerajaan dengan menyediakan peruntukan besar bagi menangani masalah kemiskinan di kalangan rakyat di negara ini.

Kerajaan di negara ini, jelasnya, sangat prihatin dengan masalah kemiskinan rakyat sehingga berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari semasa ke semasa melalui program-program pembasmian kemiskinan yang sedia ada.

“Pelaksanaan program pembasmian kemiskinan ini berjaya mengurangkan kadar kemiskinan iaitu mencapai 3.8 peratus pada 2009 jika berbanding 5.7 peratus pada 2005.

“Peratusan miskin tegar pula telah menurun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh yang sama.

“Ini menunjukkan pelbagai program pembasmian kemiskinan yang disediakan kerajaan sangat berkesan dalam usaha kita mencapai sifar kemiskinan menjelang 2020,” katanya pada Upacara Penyampaian Bantuan Sewa Rumah di Bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng, Setiausaha MPS Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha MPS, Morshidi Fredrick serta ahli-ahli MPS.

Seramai 115 orang penerima bantuan tersebut bagi daerah Sibu kali ini dengan jumlah keseluruhan RM170,000.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Lanang memberitahu, di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menggerakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara membantu membasmi kemiskinan bandar di mana setiap PBT bertanggungjawab ke atas pelaksanaan program-program pembasmian PPKB di bawah kawasan pentadbiran masing-masing.

“Pemohon PPKB akan dijalankan melalui sistem e-Kasih di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Sistem e-Kasih ini ialah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

“Itulah usaha kerajaan dalam membantu rakyat miskin dengan memberi bantuan kewangan, tetapi sebaliknya lebih berkesan dengan membuka ruang ataupun menyediakan peluang permulaan kepada mereka yang terlibat agar iniasitif ini boleh menjadikan mereka berdaya maju seterusnya mencapai kehidupan yang optimum,” katanya.

Beliau berkata, membasmi kemiskinan di kalangan rakyat bukan sesuatu mudah kerana kerajaan perlu membuat kajian ataupun pemantauan terlebih dahulu sebelum mewujudkan program-program bantuan disalurkan kepada rakyat.

Jelasnya, MPS terlibat secara langsung dalam penyaluran bantuan sewa rumah yang dilaksanakan secara ‘household’ dan ‘target specific’ dengan golongan sasarnya adalah keluarga miskin di bandar yang mempunyai pendapatan ataupun ‘household income’ kurang Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan.

“Bantuan itu bukannya berbentuk kebajikan, tetapi lebih menekankan kepada usaha mengeluarkan keluarga miskin daripada PGK,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tiong berharap para penerima bantuan tersebut dapat memperolehi manfaat di mana sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka dari segi kewangan.

“Kerajaan berharap agar semua berusaha gigih demi melepaskan diri serta keluarga dari belenggu kemiskinan seterusnya meningkatkan taraf hidup setiap isi rumah,” katanya.