Mangsa kebakaran terima bantuan Tabung Baitulmal

0

SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Sibu menyerahkan bantuan segera dalam bentuk wang tunai kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Nangka, di sini semalam.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Putit Matzen sambil ditemani Ketua Pegawai Tabung Baitulmal Sibu, Ali Mat menyerahkan bantuan berjumlah RM2,500 kepada ketua keluarga mangsa kebakaran, Julaihi Alias John di tapak kediaman mereka yang musnah terbakar.

“Bantuan segera itu adalah bagi membantu meringankan beban ditanggung oleh mangsa-mangsa kebakaran,” kata Putit kepada pemberita di sini semalam.

Julaihi bersama isteri, tiga orang anak mereka dan tiga saudaranya tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Nangka di sini musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran sekitar jam 2.15 pagi Khamis lalu.

Keluarga Juhaili dan saudaranya kini menumpang di rumah saudara mereka di kawasan berdekatan.

Menurut Julaihi, 40-an dan bekerja sendiri, semasa kejadian beliau berada di Dalat dan bergegas pulang ke sini sejurus menerima berita kejadian kebakaran itu.

“Kami sudah tinggal di rumah ini lebih 30 tahun dan ketiga-tiga orang anak masih bersekolah,” katanya.

Beliau berkata, tiada satupun barangan milik mereka berjaya diselamatkan kerana api terlalu cepat marak sehingga memusnahkan rumah dibina daripada kayu itu hanya dalam masa 15 minit.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan menimpa anggota keluarga dan saudaranya.

Anggota Bomba dan Penyelamat turut bergegas ke tempat kejadian pada awal pagi itu berjaya memadamkan api daripada merebak ke rumah-rumah berdekatan.