Kelab Golf Damai dinaik taraf

0

Kerja-kerja menaik taraf DGCC dijangka dilaksanakan pada tahun ini, kata Soedirman

BERMAIN DENGAN PROFESIONAL: Soedirman (kedua kanan) bersama Aslansia (kiri), John Lee dan Cho Tae Woon sebelum perlawanan bermula di DGCC.

BERMAIN DENGAN PROFESIONAL: Soedirman (kedua kanan) bersama Aslansia (kiri), John Lee dan Cho Tae Woon sebelum perlawanan bermula di DGCC.

SANTUBONG: Kelab Golf Damai (DGCC) di sini bakal dinaik taraf dengan perancangan kerja-kerja menaik taraf dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Soedirman Aini berkata antara kerjakerja menaik taraf DGCC masih dalam perancangan merangkumi penambahbaikan sistem saliran di padang golf tersebut.

Menurut beliau, kerjakerja pembaikan dan menaik taraf di padang golf terbabit adalah tepat pada masanya dan perlu diteliti memandangkan kelab itu sudah berusia 20 tahun.

“Mungkin kita perlu melihat sistem perparitan selepas ini kerana kelab ini sudah berusia 20 tahun dan kita boleh mempertimbang untuk melakukannya selepas kerja-kerja pembaikan yang sedia ada selesai,” katanya ditemui pada perlawanan persahabatan dengan Presiden Persatuan Pemain Golf Profesional Korea, Cho Tae Woon di sini.

Turut bermain bersama Soedirman ialah ahli perniagaan berpangkalan di Australia, John Lee dan Pengurus Besar PPES Ternakan Sdn Bhd, Aslansia Yahya.

Dalam perkembangan lain, Soedirman turut mendedahkan bahawa kerja-kerja di kawasan hijau kelab itu dijangka akan siap tidak lama lagi.

“Kerja-kerja pada tiga lubang terakhir dijangka akan siap tidak lama lagi dan diharap kita boleh mempertimbang kerja-kerja yang sama dilakukan di kawasan ‘fairway’,” katanya.

Beliau juga mendedahkan bahawa selepas semua kerjakerja selesai, DGCC akan menjemput seorang perunding profesional dari Bogor, Indonesia untuk bermain di situ supaya boleh memberi komen terhadap keadaan padang kelab tersebut.

“Kami akan menjemput beliau untuk datang dan bermain di sini…  mudah-mudahan dia boleh memberi kita beberapa komen mengenai keadaan padang dan mungkin juga boleh menasihatkan kita tentang bagaimana untuk memantapkan lagi,” katanya.

Beliau juga berharap agar keadaan padang yang baik di DGCC dapat menarik lebih banyak pertandingan untuk diadakan di sana agar ahli-ahli kelab tersebut dapat turut serta.

Sementara itu, pertandingan ‘Monthly Medal DGCC’ akan diadakan pada 30 Mac dengan penyertaan seramai 60 pemain dijangka mengambil bahagian.

Pertandingan berdasarkan secara ‘strokeplay’, kemasukan untuk kejohanan sehari itu adalah terhad.

Yuran kemasukan bagi ahli-ahli kelab ialah RM80 dan RM120 untuk bukan ahli.

Hadiah wang tunai akan disediakan kepada pemenang dan tarikh tutup pertandingan ini ialah pada 29 Mac.