Kampung Beliong terima peruntukan hampir RM1j

0
TERIMA KASIH KERAJAAN: Karim (tengah) ditemani Rubiah (tiga kiri) dan Hamsiah (kanan) mengadakan lawatan kedua ke Kampung Beliong.

TERIMA KASIH KERAJAAN: Karim (tengah) ditemani Rubiah (tiga kiri) dan Hamsiah (kanan) mengadakan lawatan kedua ke Kampung Beliong.

ASAJAYA: Kampung Beliong di sini menerima durian runtuh selepas menerima peruntukan hampir RM1 juta untuk projek pembangunan kampung itu.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah pada lawatan kedua rombongan Pasukan Bergerak ke kampung berkenaan baru-baru ini.

Karim menjelaskan, peruntukan itu bertujuan meningkatkan prasarana dan infrastruktur yang lengkap dalam usaha menyediakan suasana kehidupan yang selesa kepada penduduk di situ.

“Sebanyak RM300,000 disalurkan untuk menyelenggara ban bagi mengatasi masalah banjir, RM200,000 bagi pembinaan jeti baharu, RM200,000 bagi naik taraf jalan kampung, RM180,000 untuk membaik pulih Pusat Komuniti dan RM100,000 pula diperuntukkan untuk pembetungan.

“Jumlah kesemua peruntukan yang telah diluluskan di bawah Pasukan Bergerak khas untuk pembangunan Kampung Beliong kira-kira RM1 juta sekali gus membantu merancakkan pembangunan di kampung ini,” katanya.

Karim yang juga Menteri Pembangunan Belia (Bandar) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, pemilihan kampung itu oleh penubuhan Pasukan Begerak hasil inisiatif kerajaan pusat dalam mengenal pasti kawasan luar bandar untuk dinaik taraf amatlah bertepatan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana telah memilih Kampung Beliong ini daripada lima kawasan dalam Sarawak yang telah diperuntukkan untuk projek pembangunan ini di bawah Pasukan Bergerak,” katanya.

Menurutnya, dengan penubuhan pasukan itu ia dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar serta meningkatkan suasana kehidupan yang lebih kondusif kepada masyarakat di pedalaman.

Justeru, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi memajukan lebih banyak lagi kawasan luar bandar secara lebih teratur.

Penubuhan Pasukan Bergerak di bawah Majlis Tindakan Negara yang dilaksanakan di seluruh Malaysia bermula Januari lalu menerapkan tiga aspek.

Antara tiga aspek itu, meningkatkan ekonomi, meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur serta menaik taraf modal insan di kawasan tumpuan.

Hadir sama Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang, Pegawai Penerangan Samarahan Sharifah Hamsiah Wan Mohbar dan tetamu kehormat lain.