Sedondon biru akhiri ‘cinta’

5

Pasangan lesbian nekad terjun bangunan parkir; seorang maut, pasangannya parah

BELUM AJAL: Suzi terbaring di atas jalan selepas terjun dari tingkat tujuh bangunan parkir Limbang Plaza, semalam.

LIMBANG: Hasrat pasangan lesbian untuk menamatkan ‘percintaan’ dengan terjun bersama tidak kesampaian apabila seorang maut dan pasangannya parah dalam kejadian di bangunan parkir Limbang Plaza di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, Erica, 16, yang maut akibat kecederaan serius di badan, tertiarap di dalam longkang selepas nekad terjun bersama pasangannya, Suzi, 20, dari tingkat tujuh bangunan parkir tersebut.

Suzi yang parah selepas ditemui terbaring di atas jalan di tepi bangunan itu, kini dirawat di Hospital Limbang.

Menurut sumber, pasangan tersebut dipercayai merancang untuk menamatkan ‘percintaan’ mereka dengan terjun dari bangunan itu sambil memakai pakaian sedondon biru.

“Malangnya, impian untuk mati bersama tidak kesampaian selepas seorang daripada mereka maut dan seorang lagi masih hidup tetapi mengalami kecederaan parah,” kata sumber itu.

Sementara itu, saksi yang ditemui Utusan Borneo semalam memberitahu, pasangan itu dilihat berada di tingkat tujuh bangunan terbabit sekitar jam 11.10 pagi.

“Sebelum kejadian, saya bersama dua rakan saya melepak di tingkat tujuh bangunan itu sementara menunggu rakan lain sekitar jam 11 pagi.

“Ketika menunggu rakan, pasangan itu muncul dan duduk bersama di tangga bangunan tersebut sambil merokok.

“Pasangan itu hanya berdiam diri dengan muka bermasalah.

“Kami tidak mengenali pasangan itu dan tidak mengesyaki apa-apa sebelum beredar dari bangunan terbabit,” kata saksi itu.

Saksi tersebut menambah, sejurus berada di aras bawah, mereka dikejutkan dengan jeritan orang ramai yang memberitahu terdapat pasangan terjun dari bangunan itu.

Seorang saksi lain pula memberitahu, pasangan tersebut ada dilihat berjalan bersama pagi semalam di pasar Limbang.

“Saya tidak menyangka pasangan yang saya lihat berjalan bersama di pasar awal pagi tadi (semalam) adalah pasangan yang terjun bangunan itu,” kata saksi tersebut.

Sementara itu, aksi pasangan tersebut yang terjun dari bangunan itu turut menggemparkan orang ramai yang berada di kedai-kedai berhampiran.

LOKASI: Bangunan parkir Limbang Plaza yang menjadi tempat pasangan itu nekad menamatkan ‘percintaan’ mereka.

LOKASI: Bangunan parkir Limbang Plaza yang menjadi tempat
pasangan itu nekad menamatkan ‘percintaan’ mereka.

Kata mereka, Suzi yang terbaring di atas jalan kelihatan meraung kesakitan ketika operasi menyelamat dilakukan pihak polis dan hospital, manakala Erica kaku dalam longkang berhampiran.

Utusan Borneo difahamkan Erica meninggal dunia semasa mendapat rawatan kecemasan di Hospital Limbang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian itu.

Menurut Mohd Bukhori, siasatan awal polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan cubaan membunuh diri.

Justeru, beliau merayu kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil memberi maklumat dengan menghubungi Balai Polis Limbang menerusi talian 085-211717.