Empat lelaki didenda kerana bermain Holo

0

MIRI: Empat lelaki masing-masing didenda RM600 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan bermain judi haram di tempat awam.

Drahim Timin, Macpherson Mike, Law Yu Hwat dan Liu Jiew Chow, kesemuanya dari Miri telah didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Sub-Inspektor Musa Yahya telah membuat satu serbuan cegah perjudian ke sebuah premis di tingkat satu, Lot 309 Jalan Nakhoda Gampar di sini kerana dipercayai ada kegiatan judi haram dianjurkan di situ.

Dalam serbuan yang dilakukan pada jam 5.

05 petang, 26 Mac lalu, polis berjaya menahan empat lelaki yang didapati sedang bermain judi haram jenis Holo.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas perkakas perjudian dan sejumlah wang pertaruhan untuk dijadikan barang kes.

Di hadapan mahkamah, kesemua tertuduh merayu hukuman yang ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertama mereka.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali.