Aktiviti berbasikal akan diperbanyak

0
TAHNIAH: Lee menyampaikan hadiah kepada Fito Bakdo dari Team Corbusier A yang dinobatkan sebagai pemenang ‘Raja Pecut’.

TAHNIAH: Lee menyampaikan hadiah kepada Fito Bakdo dari Team Corbusier A yang dinobatkan sebagai pemenang ‘Raja Pecut’.

KUCHING: Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) akan menganjurkan lebih  banyak program pembangunan dan aktiviti berkaitan berbasikal di seluruh negeri.

Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin berkata, usaha tersebut penting untuk memastikan negeri ini tidak ketandusan pelumba.

Menurutnya, pada masa ini Sarawak mempunyai pelumba basikal terbaik dan mampu meraih pingat di Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kita mahu lebih ramai bakat baharu dapat dikesan untuk mewakili negeri dan negara.

“Memang kita mempunyai pelumba berpotensi untuk meraih pingat emas di SUKMA namun kita mahu lebih ramai lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Cylcle Fest semalam.

Beliau berkata aktiviti berbasikal juga semakin diminati rakyat negeri ini.

“Kita lihat sekarang semakin ramai orang bermain basikal termasuk di kampung dan kawasan perumahan.

“Ini merupakan sesuatu yang positif dan kita berharap amalan sihat seperti ini berterusan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata, negeri lain sepatutnya mencontohi Sarawak kerana mampu menganjurkan Cycle Fest.

“Usaha seperti ini merupakan langkah terbaik untuk ketengahkan bakat baharu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Sarawak mampu muncul sebagai lubuk melahirkan pelumba basikal seperti Terengganu sekiranya program bersesuaian dapat diperkenalkan.

“Rakyat negeri ini sudah mengamalkan budaya berbasikal. Ia merupakan langkah baik untuk mencari bakat baharu,” kata Naim.

Hadir sama Menteri Muda Belia Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chien Jen dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.