Manifesto populis: Ambil iktibar pengalaman Jepun

2

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman politik Jepun sebelum membuat keputusan tentang parti yang akan dipilih pada pilihan raya umum akan datang, kata seorang ahli akademik Jepun.

Prof Madya Chong Fatt Seng dari Shobi University berkata, sesebuah parti politik yang mengemukakan terlalu banyak manifesto populis, tidak akan mampu menunaikannya dan tidak akan lama berkuasa.

Ahli akademik kelahiran Malaysia ini menetap di Jepun sejak lebih 20 tahun lepas.

“Kami ada cerita yang sama di Jepun tiga tahun lepas. Dalam manifesto mereka, parti pembangkang, Parti Demokratik Jepun (DPJ), menjanjikan pendidikan percuma, lebuh raya tanpa tol dan penurunan harga petrol.

“Mereka juga menunjukkan cara yang akan digunakan untuk mendapatkan hasil.

Mereka menang dalam pilihan raya pada Ogos 2009. Dalam pilihan raya Dewan Perwakilan pada 2009, mereka menang 308 daripada 480 kerusi.

“Bagaimanapun, mereka tidak dapat mengotakan janji yang ditabur.

Mereka hanya mampu bertahan tiga tahun lebih apabila rakyat Jepun kembali memberi kepercayaan kepada parti yang berkuasa sejak sekian lama sebelum itu, Parti Demokratik Liberal (LDP),” katanya kepada Bernama.

DPJ adalah sebuah parti politik pertengahan kiri yang ditubuhkan pada 1998 hasil gabungan beberapa parti pembangkang.

Selepas mencapai kemenangan besar pada 2009, parti itu disingkirkan daripada kerajaan oleh LDP pada pilihan raya umum 2012.

Ketika memerintah, DPJ melaksanakan beberapa langkah seperti memberi pendidikan percuma di peringkat sekolah tinggi dan menambah subsidi untuk saraan membesarkan anak.

“Itulah pengajaran yang didapati rakyat Jepun tiga tahun lepas apabila parti itu gagal menunaikan janji-janji lain.

“Tujuan saya menceritakan kisah ini ialah untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa rakyat Jepun telah tersilap membuat pilihan. Walaupun mereka kemudiannya memilih semula parti sebelum itu (DPJ), tapi mereka telah ‘rugi’ tiga tahun.

“Saya selalu memberitahu rakyat Malaysia bahawa mereka boleh mencuba, tetapi pilihan raya tidak boleh diperjudikan. Anda boleh kata ‘kalau mereka tidak baik, kami boleh tunggu pilihan raya akan datang, tapi anda terpaksa menanggung kerugian akibat tahun-tahun yang telah anda lalui,” kata Chong.

Beliau berkata untuk melaksanakan manifestonya, parti politik perlu mencari wang melalui pelbagai cara seperti mengenakan cukai, mengurangkan subsidi dan mengeluarkan bond kerajaan.

“Tetapi, jika bond dikeluarkan setiap tahun, Malaysia boleh jadi muflis.

“Sekiranya mereka (pembangkang) tidak mahu memilih mana-mana langkah itu, mereka perlu memastikan pertumbuhan ekonomi mencapai tahap yang kukuh untuk membawa hasil kepada negara,” kata Chong.

“Sekiranya mereka memilih cara keempat (memastikan pertumbuhan kukuh ekonomi), mereka perlu mencari dan melaksanakan dasar ekonomi yang mantap.

“Di Malaysia ada Program Transformasi Ekonomi. Setakat ini, saya tidak nampak atau tahu ada dasar lain yang lebih baik daripada itu.

“Sekiranya anda boleh perkenalkan dasar lain yang lebih baik daripada itu, sudah tentu orang akan menyokongnya. Tapi, untuk waktu ini, saya tidak fikir begitu,” katanya.

Ditanya sama ada “kerajaan baharu” mungkin menghentikan projek pembangunan yang dilaksanakan ketika ini, beliau berkata: “Pentadbiran baharu tidak memberi kesan terhadap pembangunan atau pertumbuhan ekonomi, tapi sekiranya mereka melaksanakan dasar baharu atau mengubah dasar sebelumnya dengan berpandukan hasil analisis yang cukup baik, maka ia akan membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Tetapi, jika mereka melakukannya hanya kerana tidak bersetuju dengan perkara yang telah dilaksankan kerajaan terdahulu, maka ia merupakan suatu perbuatan yang amat berbahaya,” kata Chong.

Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya membuat keputusan tentang parti yang hendak dipilih bukan berdasarkan emosi, tetapi dengan ‘akal yang bijak’ dan ‘pemerhatian yang teliti’. — Bernama