Site Last Updated 10:44 am, Wednesday

Mayat ditemui di kubur sempit atas bukit diklasifikasi kes bunuh

by AMIR ANUAR. Posted on April 1, 2013, Monday

TAWAU: Pihak polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di sebuah ‘kubur sempit’ di atas bukit Hutan Simpan Membalua, Batu 9 Jalan Apas berhampiran simpang masuk ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini sebagai kes bunuh.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, pihak polis belum dapat mengenalpasti identiti lelaki itu yang didapati lengkap berpakaian, berbaju-T, berseluar jeans dan berselipar kerana tidak ada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi terbabit.

“Pihak polis menerima aduan mengenai penemuan mayat lelaki di persempadanan antara kawasan ladang kelapa sawit dan hutan ini kira-kira jam 8 malam tadi (Ahad) di Balai Polis Bandar Baru Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas,” katanya.

Awang berkata mengikut laporan pengadu, mayat itu ditemui selepas pengadu mengarahkan dua pekerjanya menggali sebuah kawasan tanah yang mencurigakan dan memberhentikan niat mereka kerana terperanjat selepas terlihat bentuk muka manusia.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada awalnya pengadu yang juga pemilik ladang kelapa sawit di kawasan berhampiran keluar menanam benih sawit pada kira-kira jam 8 pagi bersama dua orang pekerjanya.

“Kira-kira jam 1 petang, pengadu ternampak keadaan tanah yang baru digali dan ditutup dengan rumput kering serta kayu berhampiran dengannya semasa membuang air kecil dan terus mengarahkan dua pekerjanya menggali tanah itu kerana berasa curiga,” katanya.

Beliau berkata, Unit Forensik IPD Tawau telah menjalankan kerja-kerja menggali kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin dan mendapati lelaki itu ditanam di dalam sebuah lubang sempit sedalam lebih kurang satu kaki dan berkeluasan 2×2 kaki.

Berdasarkan keadaan fizikal mayat, pihaknya percaya lelaki terbabit telah ditanam dan ditinggalkan di lubang ‘kubur’ berkenaan lebih dari dua hari serta mengesyaki mangsa telah dibunuh di lokasi lain sebelum ditanam di kawasan itu.

“Terdapat kesan lebam di bahagian badan dan muka lelaki itu, tangannya didapati diikat dengan tali sementara kakinya pula dalam keadaan berlipat,” katanya semasa ditemui pemberita di pejabatnya di IPD Tawau di sini.

Awang berkata, pihak polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini ataupun ada kehilangan ahli keluarga ataupun kenalan diminta supaya menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan ataupun menjalani proses pengecaman mayat.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke IPD Tawau di talian 089-752222 ataupun menerusi Pegawai Penyiasat, ASP Yampil A/K Garai (013-8208352) ataupun tampil terus ke balai-balai polis berhampiran,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.