Rogol: Warga asing dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

0

SANDAKAN: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang lelaki warga asing kerana terlibat dua kes rogol gadis bawah umur.

Bagi kesalahan pertama, Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan lima sebatan ke atas Agustinus Gabriel, 20-an, kerana melakukan perbuatan terhadap mangsa yang baru berusia 11 tahun.

Dia dituduh merogol mangsa, yang juga merupakan kekasihnya di belakang dewan sebuah sekolah di Ladang Melewar di Kota Kinabatangan kira-kira jam 6.30 petang pada 18 Julai tahun lepas.

Manakala, kesalahan kedua yang dilakukan di tempat sama kira-kira jam 7 malam pada 6 September tahun lepas, tertuduh telah dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan lima sebatan.

Tertuduh diperintahkan untuk menjalani hukuman itu secara berasingan.

Berdasarkan fakta kes, abang mangsa mendapat tahu bahawa adiknya telah ‘rosak’ dan setelah ditanya sendiri, adiknya mengaku telah dirogol oleh tiga orang lelaki termasuk tertuduh.

Tiga suspek berkenaan kemudian ditangkap pada 15 Mac tahun ini dan hasil siasatan mendapati mangsa dan tertuduh merupakan pasangan kekasih yang telah menjalinkan hubungan sejak 15 Julai tahun lepas.

Sepanjang perkenalan mereka, mangsa dan tertuduh telah melakukan hubungan seks beberapa kali, bagaimanapun mangsa hanya mengingati tarikh bagi dua kejadian seperti dalam pertuduhan.

Atas kesalahan itu, Agustinus didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji.