Jadikan bekas lokasi perang produk pelancongan

0
PENGALAMAN: Bob (tengah), Doughlas (kanan) bersama Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sibu Rudy Anoi (dua kanan) di Sibu kelmarin.

PENGALAMAN: Bob (tengah), Doughlas (kanan) bersama Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sibu Rudy Anoi (dua kanan) di Sibu kelmarin.

SIBU: Seorang pengkaji sejarah Australia, Bob Pinkerton berpendapat tapak pendaratan anggota komando yang terlibat dalam Ops Semut pada Perang Dunia Kedua merupakan produk terbaik dibangunkan dalam industri pelancongan.

Katanya, perkara sama turut dilakukan di Sabah yang mana hal-hal berkaitan dengan Perang Dunia Kedua telah dibangunkan sebagai produk pelancongan.

Mengambil contoh di Bario, Bob menjelaskan ia adalah landasan terbaik untuk memulakan inisiatif tersebut.

Pada 25 Mei 1945, sekumpulan komando (Z Special Unit) atau lebih dikenali sebagai Special Operations Executive (SOA) yang terdiri daripada gabungan tentera Australia, New Zealand, Belanda dan United Kingdom mendarat di Bario bagi mengusir tentera Jepun.

“Sementara Ops Semut 3, tapak pendaratannya ialah di Bukit Lima sebelum bergerak ke Nanga Beguang, Song.

“Terdapat Ops Semut 1, 2, 3 dan 4,” katanya yang mana bapanya adalah antara anggota komando Australia yang terlibat dalam operasi berkenaan.

Menurut Bob, semasa berkhidmat di Sarawak bapanya sangat dikenali terutama di kalangan penduduk kaum Kelabit.

“Mereka panggil ayah saya ‘Tuan Pink’ atau ‘Orang Tinggi’,” ujar beliau yang tiba di sini bersama rakannya, Dr Doc Daughlas.

Ahad lalu, Bob dan Doc telah dibawa melawat ke sebuah rumah panjang di Bawang Assan.

Ini adalah kali pertama beliau berkunjung ke rumah panjang Iban selain turut dijamu dengan air tuak.

Sebelum ini katanya, beliau pernah melawat ke rumah penduduk peribumi di Sabah termasuk kaum Kadazan.

Bob juga bercadang untuk berkongsi setiap maklumat yang diperolehinya di sini dengan pihak berkaitan di negaranya untuk mengukuhkan sejarah pendaratan anggota yang terlibat dengan operasi berkenaan.