Rakyat harus kekal keutuhan perpaduan, kemakmuran dikecapi sejak kemerdekaan

0
SEMARAKKAN KEMERDEKAAN: Mohammad Ali (tengah) ditemani Ismail (tiga kanan) dan tetamu lain mengibarkan bendera sempena Perayaan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Samarahan 2013 di Dewan Suarah Kota Samarahan.

SEMARAKKAN KEMERDEKAAN: Mohammad Ali (tengah) ditemani Ismail (tiga kanan) dan tetamu lain mengibarkan bendera sempena Perayaan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Samarahan 2013 di Dewan Suarah Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Rakyat harus mengekalkan keutuhan perpaduan dan kemakmuran yang telah dikecapi sejak kemerdekaan lagi agar ia tidak tergadai oleh unsur-unsur yang cuba memecahbelahkannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud berkata, untuk itu rakyat perlu mensyukuri nikmat keamanan dan keharmonian demi mencapai kemajuan dan pembangunan yang lancar meskipun memiliki masyarakat yang majmuk.

“Oleh itu, perpaduan dan kemakmuran yang telah dinikmati sejak kemerdekaan sehingga kini perlu dipelihara agar ia tidak hilang suatu masa nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini malam Ahad lalu.

Pada masa yang sama Mohammad Ali mengingatkan rakyat  agar tidak leka kerana negara kini menghadapi ancaman keselamatan yang paling mencabar daripada sudut perpaduan kaum, agama, politik, pendidikan dan ekonomi.

Beliau menjelaskan, antara cabaran itu adalah peristiwa yang berlaku di Lahad Datu, Sabah dijadikan sebagai iktibar untuk sama-sama bersikap sentiasa waspada dan tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dinikmati sekarang.

Menurutnya, perpaduan antara semua kaum di negeri ini perlu dikekalkan yang akan menjadi teras kepada pembangunan yang berterusan sejajar dengan usaha menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2020.

“Justeru, sama-samalah kita menekankan matlamat membina tamadun untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menurut acuan Malaysia dan prasyarat kepada kemajuan ini adalah perpaduan dan persaudaraan di kalangan masyarakat pelbagai kaum,”katanya.

Sepanjang 50 tahun mencapai kemerdekaan katanya, bahagian Samarahan yang dahulunya hanya daerah kecil kini muncul sebagai hab pendidikan di Bumi Kenyalang setelah melalui proses transformasi yang begitu pesat.

Selain itu, beliau turut mengajak masyarakat supaya menjadikan bahagian Samarahan bahagian yang dinamik selari dengan semangat kemerdekaan ke-50 tahun berteraskan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan perpaduan sebagai asas yang paling penting.

“Sama-samalah kita mewujudkan semangat kemerdekaan berteraskan gagasan 1Malaysia bagi menwujudkan negara bangsa dan perpaduan nasional berasaskan kesatuan dalam kepelbagaian,” ujarnya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi, beliau menyeru masyarakat supaya terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kemajuan dan keamanan yang berterusan.

Pada majlis itu juga beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk wira Lahad Datu.

Hadir sama Residen Bahagian Samarahan Ismail Mohd Hanis dan Timbalan Residen John Awan.