Site Last Updated 12:20 pm, Thursday

Alberts minat Eldstal, Salibasic

by Harry Illias. Posted on April 4, 2013, Thursday

GIGIH: Pemain giat menjalani latihan di Stadium Negeri semalam.

Jentera serangan Sarawak perlu lebih mantap untuk terus mencabar Sime Darby

KUCHING: Ketua Jurulatih Robert Alberts tidak menolak kemungkinan akan mengikat kedua-dua pemain yang sedang menjalani ujian selama seminggu bersama Sarawak.

Pemain dimaksudkan Junior Eldstal, 21, dari Sabah dan Muamer Salibasic, 28, dari Bosnia Harzegovina menarik minat Alberts untuk mengisi ruang kosong ditinggalkan oleh empat pemain tonggaknya yang sedang mengalami kecederaan.

“Berdasarkan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tidak mustahil bagi kita mengikat kedua-dua pemain itu,” katanya semasa sesi latihan di Stadium Negeri semalam.

Bagaimanapun, beliau perlu mendapatkan lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berhubung hal itu dan nasib kedua-dua pemain itu hanya akan diketahui sebaik jendela perpindahan dibuka pada 8 April nanti.

Menurut Alberts, pengalaman yang dimiliki oleh kedua-dua pemain itu semasa bermain di Eropah dapat digunakan untuk mempertajam barisan serangan Sarawak.

“Eldstal bermain dengan Kelab Slimbridge di England manakala Salibasic pernah beraksi dengan Kelab Slovan di Republik Chech.

“Kedua-duanya memiliki kemahiran yang kita perlukan terutama dalam mempertajamkan serangan,” ujarnya.

Katanya, Sarawak masih kekurangan jaringan jika dibandingkan dengan pencabar terdekat Sime Darby.

“Untuk memburu kejuaraan, kita perlu memantapkan skuad terutama di bahagian serangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Alberts akan menyediakan resipi istimewa pada pusingan pertama Piala FA menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu Sabtu ini.

Katanya Sarawak akan menggunakan taktik berbeza bagi mengekang juara bertahan itu.

“Ini adalah ujian sebenar bagi kita dan ia bakal menyajikan perlawanan yang menarik antara kedua-dua pasukan.

“Memang diakui Kelantan antara pasukan terbaik di Malaysia setakat ini.

Namun saya yakin kita mampu mencatat keputusan positif pada perlawanan itu,” jelasnya.

Sarawak tumpas 1-2 di tangan Kelantan pada pusingan pertama Pila FA 2012.

Perlawanan pusingan kedua akan dilangsungkan pada 16 April di Stadium Negeri.

 

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.