Enam belas pilihan raya kecil diadakan selepas PRU Ke-12 2008

0

KUALA LUMPUR: Enam belas pilihan raya kecil diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 2008 ekoran berlakunya kekosongan bagi enam kerusi Parlimen dan 10 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Daripada jumlah pilihan raya kecil yang berlangsung, BN dan pembangkang masing-masing memenangi lapan kerusi. BN menang dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN, manakala pembangkang empat kerusi Parlimen dan empat DUN.

Walaupun pada peringkat awal, pembangkang dilihat menguasai pilihan rakyat pada beberapa pilihan raya kecil itu, namun trend berubah dalam lima pilihan raya kecil terakhir apabila BN mencatat kemenangan berturut-turut dalam pertembungan di Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Sebanyak 13 pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan manakala tiga lagi kerana peletakan jawatan wakil rakyatnya.

Pilihan raya kecil pertama diadakan bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang pada 26 Ogos 2008 apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penasihat parti itu bertanding di kawasan berkenaan.

Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi me-ngalahkan calon Barisan Nasional Arif Shah Omar Shah dan calon Bebas Hanafi Mamat.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau pada 7 April 2010 dan DUN Penanti pada 31 Mei 2009 diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat dari PKR iaitu V.Arumugam dan Mohammad Fairus Khairuddin.

BN memutuskan tidak bertanding bagi pilihan raya kecil DUN Penanti, yang dimenangi calon PKR Mansor Othman mengalahkan dua calon Bebas, Aminah Abdullah dan Nai Khan Ari.

Di BUKIT SELAMBAU, terdapat 13 calon Bebas bertanding, kesemuanya mengumpul sejumlah 1,326 undi. Kerusi itu dimenangi calon PKR S.Manikumar dengan majoriti 2,405 undi.

Berikut ialah kronologi pilihan raya kecil itu:

PARLIMEN
26 OGOS 2008 PERMATANG PAUH (Pulau Pinang): (dikosongkan penyandang Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail)
• Datuk Seri Anwar Ibrahim peroleh majoriti 15,671 undi mengalahkan Hanafi Mamat (Bebas) dan Arif Shah Omar (BN)
17 JAN 2009 – KUALA TERENGGANU (Terengganu): (Berikutan kematian penyandang Datuk Razali Ismail (BN))
• Mohd Abdul Wahid Endut (PAS) peroleh 2,631 majoriti undi mengalah-kan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (BN) dan Azharudin Mamat (Bebas).
7 APRIL 2009 – BUKIT GANTANG (Perak): (Berikutan kematian wakil rakyat Roslan Shahrum (PAS)
• Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) peroleh 2,789 majoriti undi me-ngalahkan Ismail Saffian (BN) dan Kamarul Ramizu Idris (Bebas)
25 APRIL 2010 – HULU SELANGOR (Selangor): (Berikutan kematian pe-nyandangnya Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad (PKR)
• P. Kamalanathan (BN) menang majoriti 1,725 undi mengalahkan Datuk Zaid Ibrahim (PKR)
16 MEI 2010 – SIBU (Sarawak): (Berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew (BN))
• Wong Ho Leng (DAP) menang majoriti 398 undi mengalahkan Robert Lau Hui Yew (BN) dan Narawi Haron (Bebas)
4 NOV 2010 – BATU SAPI (Sabah): (Berikutan kematian penyandangnya Datuk Ir. Chong Ket Wah (BN)
• Tsen Thau Lin (BN) peroleh majoriti 6,359 undi mengalahkan Ansari Abdullah (PKR) dan Datuk Yong Teck Lee (SAPP)

NEGERI
7 APRIL 2010 – BUKIT SELAMBAU (Kedah): (Berikutan perletakan jawatan wakil rakyatnya iaitu V. Arumugam (Bebas)
• S. Manikumar (PKR) menang majoriti 2,405 undi mengalahkan 14 calon lain.
7 APRIL 2010 – BATANG AI (Sarawak): (Berikutan kematian wakil rakyatnya iaitu Datuk Dublin Unting Anak Ingkot (BN))
• Malcom Mussen Lamoh (BN) menang majoriti 1,854 undi mengalahkan Jawah Jerang (PKR).
31 MEI 2009 – PENANTI (Pulau Pinang): (Berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya Mohammad Fairus Khairuddin (PKR))
• Mansor Othman (PKR) peroleh 5,558 majoriti undi mengalahkan Aminah Abdullah (Bebas) dan Nai Khan Ari (Bebas)
14 JULAI 2009 – MANEK URAI (Kelantan): (Berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaacob (PAS)
• Mohd Fauzi Abdullah (PAS) menang majoriti 65 undi mengalahkan Tuan Aziz Tuan Mat (BN)
25 OGOS 2009 – PERMATANG PASIR: (Berikutan kematian penyandang Datuk Mohd Hamdan Abd. Rahman (PAS)
• Mohd Salleh Man (PAS) menang 4,551 majoriti undi mengalahkan Rohaizat Othman (BN)
11 OKT 2009 – BAGAN PINANG (Negeri Sembilan): (Berikutan kematian penyandang Azman Mohammad Noor (BN))
• Tan Sri Isa Samad (BN) menang majoriti 5,435i undi mengalahkan Zulkefly Mohamad Omar (PAS).
4 NOV 2010 – GALAS (Kelantan): (Berikutan kematian penyandang Chek Hashim Sulaima (PAS)
• Ab Aziz Yusoff (BN) menang majoriti 1,190 undi mengalahkan Dr Zulkefli Mohamed (PAS)
30 JAN 2011 – TENANG (Johor): (Berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha (BN)
• Mohd Azahar Ibrahim (BN) menang majoriti 3,707 undi mengalahkan Normala Sudirman (PAS)
6 MAC 2011 – MERLIMAU (Melaka): (Berikutan kematian penyandang Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan (BN)
• Roslan Ahmad (BN) peroleh majoriti 3,643 undi mengalahkan Yuhaizad Abdullah (PAS).
6 MAC 2011 – KERDAU (Pahang) : (Berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim (BN)
• Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN) peroleh majoriti 2,724 undi mengalahkan Hassanuddin Salim (PAS). — Bernama