Pelihara integriti proses pilihan raya: Najib

0

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengajak semua pihak supaya terus memelihara integriti proses pilihan raya demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Ketika mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat Ke-12 di Putrajaya, Perdana Menteri berkata semua parti politik yang memilih untuk te rlibat dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab.

Beliau meminta semua parti kerajaan atau pembangkang memberi komitmen untuk menghormati keputusan yang akan dibuat rakyat kelak dan memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berjalan dengan aman dan selamat.

Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat dan amalan demokrasi kekal serta berjaya selama ini di Malaysia kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

“Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing, maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya,” katanya.

Najib berkata, semua pihak harus mengambil iktibar daripada pengalaman negara lain yang mendapat kesan buruk ekoran taktik buruk yang dilakukan pihak-pihak tertentu dalam memilih kepimpinan negara.

“Insaflah dan ambillah iktibar daripada apa yang telah ber-laku di negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai.

“Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat,” katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya.

“Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri, ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib,” katanya.

Najib dalam pada itu berkata, kebugaran proses demokrasi di Malaysia berjaya menyediakan asas yang subur dan stabil serta kemakmuran nasional yang dinikmati warga negara ini sejak lebih lima dekad yang lepas.

“Kerajaan yang dipilih hasil Pilihan Raya Umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat,” katanya. — Bernama