Penduduk Rumah Augustine Meringai terima bantuan kewangan daripada JKM

0

SIBU: Penduduk Rumah Augustine Meringai di Nanga Tutus, Batang Igan telah menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di bilik mesyuarat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu telah dilakukan oleh Temenggung Vincent Lau Lee Ming.

Bantuan bagi membeli peralatan bagi membina rumah berjumlah RM2,500 sepintu, bantuan bilik (RM80 seorang), bantuan peralatan sekolah (RM50 seorang pelajar), bantuan pakaian sekolah (RM70 seorang pelajar) serta bantuan pakaian harian (RM70 seorang).

Lau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sibu pada majlis itu turut menghulurkan bantuan peribadi sebanyak RM5,000 bagi membantu penduduk rumah panjang 12 pintu itu membeli tiang belian, selain dua gulung tikar plastik.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Bangit, wakil pegawai JKM Francis Renang, Tuai Rumah Augustine Meringai, pembantu peribadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan Johnny Weiss serta Kaunselor Unjah Besh.

Andrew ketika berucap pada majlis itu menasihati penduduk agar menggunakan bantuan yang diberikan dengan sebaik mungkin, khususnya bagi membeli peralatan binaan.

“Jangan guna bantuan yang diberikan ini bagi tujuan yang tidak berfaedah,” ujarnya sambil menambah amat perlu bagi penduduk mendirikan semula rumah panjang mereka.

Beliau juga memberitahu, bantuan yang disalurkan melalui JKM itu juga menunjukkan kesungguhan kerajaan BN dalam membantu setiap rakyat terutama yang menghadapi kesukaran.

Oleh itu menurut Andrew, adalah perlu bagi rakyat untuk terus berdiri teguh di belakang kerajaan BN untuk terus menikmati pelbagai bantuan yang diberikan.

Rumah Augustine di Nanga Tutus, Batang Igan, kira-kira setengah jam perjalanan menaiki bot laju dari sini telah musnah dalam satu kebakaran pada pagi 23 Januari lepas.

Kebakaran jam 7.15 pagi itu telah memusnahkan sama sekali rumah panjang kayu dua tingkat terbabit yang dibina pada 1997.