Kerjasama tangani jenayah siber

0

KOTA SAMARAHAN: Cybersecurity Malaysia bersedia membantu pihak berkuasa dalam bersama-sama menangani jenayah siber di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, Cybersecurity Malaysia merupakan pusat pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang bertindak mengenal pasti individu terlibat dalam jenayah siber di negara ini.

“Kita merupakan badan profesional yang bertindak mencari dan mengenal pasti bukti untuk diguna pakai oleh pihak berkuasa menangani masalah jenayah siber di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan ceramah kesedaran keselamatan siber anjuran bersama Institut Reka Bentuk dan Inovasi dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Pada masa sama, Amirudin menjelaskan dari Januari hingga Mac tahun ini sebanyak 2,499 kes melibatkan jenayah siber dilaporkan kepada pihaknya.

“Dua kategori jenayah siber yang paling tinggi jumlahnya dari tempoh tersebut adalah penipuan melibatkan 1,116 kes dan pencerobohan, 862 kes.

“Justeru, kita sebagai badan profesional tentang perkara ini sentiasa membuka pintu untuk membantu pihak berkuasa mengenal pasti atau mengumpul bukti bagi menangani jenayah siber ini,” jelasnya.

Menyentuh mengenai khabar angin atau fitnah yang disebarkan menerusi siber terutamanya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, Amirudin memberitahu pihaknya hanya dapat membantu mengumpul bukti dan mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab jika diminta atau menerima laporan mengenai perkara itu.

“Untuk mengambil tindakan undang-undang, kita tidak ada mempunyai akta khusus dan tindakan itu akan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya kerana kita hanya badan profesional yang mencari bukti dan mengenal pasti pelaku jenayah siber ini,” jelasnya lagi.

Terdahulu, dalam ceramahnya yang bertajuk ‘Kesedaran Keselamatan Siber,’ beliau memberitahu tujuan program itu adalah membentangkan isu serta cabaran di alam siber yang dihadapi masyarakat Malaysia.

Selain itu, katanya, ia sebagai platform berkongsi pengalaman berkaitan kes atau kisah benar serta kajian berkaitan pelbagai insiden di alam siber dan membincangkan etika di dunia siber untuk penambahbaikan tentang keselamatan siber.