KUCHING: Miri, Bintulu dan Sibu akan menjadi destinasi seterusnya di Sarawak yang akan dihubungkan dengan Kuala Lumpur oleh penerbangan Malindo Air.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata, rancangan mengembangkan penerbangan ke tiga lokasi baharu di Sarawak itu akan dilancarkan pada Jun depan.
“Ini merupakan fokus kita bagi Sarawak dan ini secara tidak langsung menjadikan Sarawak sebagai antara hab transit di Malaysia,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa memberikan taklimat mengenai perkhidmatan penerbangan Malindo Air, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) Datuk Rashid Khan.
Terdahulu, Rashid berkata rancangan memperluaskan penerbangan ke Miri, Bintulu dan Sibu itu masih dalam perbincangan antara LPS dan Malindo Air.
Selain itu, jelasnya perbincangan turut melibatkan penerbangan yang menghubungkan Sarawak dengan destinasi antarabangsa.
“Kami dalam perbincangan untuk berkolaboratif bagi memastikan penerbangan Malindo Air dapat dikembangkan di Sarawak iaitu selain menghubungkan Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu ke Kuala Lumpur, ia turut melibatkan destinasi antarabangsa,” katanya.
Kini, syarikat penerbangan baharu yang ditubuhkan melalui kolaboratif Malaysia-Indonesia itu telah melakukan penerbangan empat kali sehari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia beroperasi menggunakan kapal terbang baharu jenis Boeing 737-900ER.
Berbeza daripada perkhidmatan pengangkutan udara lain, Malindo Air menyediakan pelbagai kemudahan serta produk penerbangan untuk keselesaan penumpang di mana penumpang boleh menikmati hiburan dalam penerbangan menerusi skrin persendirian di setiap tempat duduk.
Malindo Air kini juga menawarkan promosi bagi penerbangan sehala antara Kuala Lumpur dan Kuching iaitu pada harga serendah RM78.