MIRI: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini pagi semalam kerana kesalahan melakukan pecah rumah dan curi.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
Desmond Ajang Wan, 22, dari Taman Delight Utama Off Jalan Airport di sini telah didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan pecah rumah dengan memecah masuk sebuah rumah kepunyaan abangnya, Devlin Tinggan Wan dan mencuri dua unit komputer tablet Samsung Galaxy Tab bernilai RM3,500, wang tunai RM50 dan satu unit kamera litar tertutup (CCTV) berharga RM3,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 pagi, 11 Februari lalu di Lot 5375 Xiang-Xiang Garden Friendship 5, Jalan Miri-Bintulu di sini.
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman yang ringan serta memohon agar tidak dipenjarakan.
Bagaimanapun, Lovely menegaskan kesalahan yang dilakukannya adalah serius serta memperuntukkan hukuman wajib penjara.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili.