SPR tetap tarikh penamaan calon, pengundian Rabu depan

0

KUALA LUMPUR: Suru­hanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu depan untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, selain dua tarikh penting itu, mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya itu akan menetapkan tarikh pengun­dian awal dan menentukan daftar pemilih PRU13.

“SPR menerima perisyti­haran oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah berhubung pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April.

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri kecuali DUN Sarawak pula, SPR telah menerima perisytiharan pembubaran DUN masing-masing,” ka­tanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pembu­baran Dewan Rakyat dan DUN itu adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri tersebut yang memberi laluan kepada SPR untuk mengadakan PRU13.

Kamaruddin berkata, men­urut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan Pi­lihan Raya Umum dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

“Peruntukan yang sama turut terkandung dalam Perlembagaan Negeri-neg­eri tersebut bagi maksud mengadakan pilihan raya umum bagi DUN,” katanya. — Bernama