MPS raikan Hari Cintai Bumi

0

Aktiviti tiga hari akan memfokuskan kepada kempen 3R

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan mengadakan beberapa aktiviti sempena Hari Cintai Bumi dari 19 hingga 21 April ini di tingkat bawah Wisma Sanyan, di sini.

Ketika ditemui pada sidang media di Wisma Sanyan kelmarin, Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng Kiong Ann berkata, aktiviti kali ini memfokuskan kepada kempen 3R (Mengurang, Mengitar Semula, Mengguna Semula).

“Tahun ini Kelab Junior Chamber (JCI) Sibu bekerjasama sebagai penganjur bersama dan jawatankuasa kerja telah membuat keputusan untuk menitikberatkan kempen 3R.

“Selain itu, JCI Sibu turut menampilkan tema yang bersesuaian sempena Hari Cintai Bumi ‘Make Every Day Earth Day’,” jelasnya.

Menurut Ngieng, Hari Cintai Bumi jatuh pada 22 April dan disebabkan ia pada hari Isnin, pihak majlis telah membuat keputusan mengadakan aktiviti bermula 19 April.

“Majlis pelancaran dijadualkan berlangsung pada 19 April diikuti dengan persembahan berkaitan dengan alam sekitar,” ujar beliau.

Katanya lagi, pameran pelbagai kumpulan dan jabatan kerajaan, ceramah, promosi jualan, pertandingan rekaan fesyen mesra alam turut diadakan diikuti pertandingan mewarna pada hari ketiga.

“Kita mengadakan aktiviti-aktiviti ini kerana kita ingin melibatkan penyertaan segenap lapisan masyarakat terutama golongan pelajar dan kanak-kanak,” jelasnya.

Menurut Ngieng, pihak majlis akan turut mengedarkan risalah ‘Say ‘No’ to Styrofoam’ kepada orang ramai sepanjang penganjuran aktiviti tersebut.

“Ini sebagai usaha kempen agar masyarakat lebih mencintai alam sekitar. Diharapkan orang ramai datang beramai-ramai dan menyokong aktiviti ini,” katanya lagi.

Hadir sama pada sidang media ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam MPS Patrick Tong.