Manifesto Barisan Nasional mampu tangani kos sara hidup rakyat

0

SIBU: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menangani kos sara hidup rakyat di negara ini.

Kaunselor Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Pasang Ngelambai berkata kesungguhan kerajaan menyediakan keperluan asas dan perkhidmatan pada harga yang rendah melalui produk 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia dan Skim Penyeragaman Harga serta subsidi pengangkutan di Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai langkah bijak.

Katanya, kesungguhan kerajaan menambah baik rangkaian pengangkutan di bandar juga merupakan satu usaha yang amat tepat.

Ini kerana, masih ramai rakyat di negara ini berpendapatan sederhana dan rendah di kawasan bandar yang bergantung kepada kemudahan pengangkutan awam.

“Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan manifesto berkenaan dan diharapkan dapat dilaksanakan sebagaimana yang digambarkan.

“Kehidupan di bandar memerlukan kos yang tinggi, isu pengangkutan harus diberi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat SDNU Cawangan Sibu Jaya Dr Ali Puji berharap manifesto berkenaan bukan hanya sekadar manifesto.

Menurut beliau, ia harus dilaksanakan sepertimana yang dilafazkannya dan bukannya membuatkan rakyat ternanti-nanti.

Beliau turut menjangkakan manifesto tersebut akan memberi impak positif kepada rakyat dalam jangka panjang.

“Manifesto BN ini akan meringankan beban terutama kalangan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Malam kelmarin di hadapan kira-kira 50,000 orang yang membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil, Najib telah melancarkan Manifesto BN sempena PRU13.

Najib berkata manifesto yang beliau lancarkan bukan hanya sekadar manifesto tetapi satu dokumen aku janji kepada rakyat.

Menurut beliau, aku janji itu adalah dokumen yang amat serius kepada parti berkenaan.

Aku janji bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ mengandungi 17 perkara untuk membantu rakyat menuju ke arah negara maju.

”Kita berjanji dan kita akan tunaikan janji itu kepada rakyat,” katanya.