Manifesto BN berpandangan jauh

1

KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan malam kelmarin merupakan aku janji yang berpandangan jauh dan berpijak di bumi nyata.

Penyandang Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana inti pati manifesto tersebut merangkumi pemberian bantuan secara terus kepada rakyat dengan mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan.

Malah menurutnya, manifesto itu turut mengambil kira perancangan makroekonomi, pembangunan negara dan perhubungan antarabangsa serta serantau.

“Ini adalah manifesto yang berpijak di bumi nyata dan bukannya khayalan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman manifesto bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara kandungan manifesto itu merangkumi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,300km dari Sematan hingga ke Serudung di Sabah selain 2,800 km jalan berturap akan dibina di Sarawak.

Dalam manifesto berkenaan, BN juga berjanji untuk membekalkan elektrik di kawasan luar bandar yang akan memberi manfaat kepada 80,000 isi rumah di Sarawak dan bekalan air bersih kepada 320,000 isi rumah di seluruh negara.

Dari segi kesihatan, pusat kanser dan pusat jantung ditubuhkan di hospital utama di Sabah dan Sarawak selain memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti bagi kawasan luar bandar di kedua-dua negeri.

Sementara itu, Wan Junaidi menjelaskan, pengumuman manifesto tersebut juga menunjukkan BN tidak mengabaikan kepentingan rakyat di bandar dan luar bandar.

“Kita boleh lihat, kebajikan semua lapisan masyarakat diambil kira termasuk membekalkan elektrik dan air bersih kepada penduduk luar bandar.

“Ini menunjukkan BN sentiasa berusaha memartabatkan kehidupan rakyat,” ujarnya.

Bagi Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof, tema manifesto tersebut sudah meletakkan rakyat didahulukan.

“Setiap inti pati manifesto ini memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau menambah, jika dilihat dari segi perincian, fokus tertumpu kepada pembangunan untuk semua lapisan masyarakat.

“Janji dalam manifesto ini menyeluruh dan mencakupi pembangunan untuk semua lapisan masyarakat dalam pelbagai sektor dengan pelbagai pendekatan,” katanya.

Fadillah yang juga penyandang kerusia Parlimen Petra Jaya yakin manifesto yang diperkenalkan itu akan memberi keyakinan kepada rakyat negeri ini untuk terus menyokong BN.

“Setiap lapisan masyarakat diberi perhatian. Saya yakin rakyat negeri ini akan terus sokong BN pada PRU13 nanti dengan pengenalan manifesto ini,” tambahnya.