Bahang PRU13 kian dirasai

0

Parti-parti yang bakal bertanding mula pasang bendera, poster

SARIKEI: Bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin dirasai dan situasi ini dapat digambarkan dengan jelas berikutan usaha parti-parti yang bakal bertanding mula memasang bendera dan poster.

Pemerhati Politik Zaini Awang Ibrahim, 56, berkata, PRU13 bakal menyaksikan parti-parti yang bersaing akan mengerah tenaga pada paras yang maksimum untuk memastikan kerusi-kerusi dipertandingkan bakal menjadi milik mereka.

“Keadaan ini akan menjadi lebih ‘meriah’ terutama melibatkan kawasan-kawasan panas, di mana persaingan parti-parti yang bertanding berada pada keadaan atau situasi 50-50.

“Bagi Parlimen Sarikei, kini kita dapat lihat tentang kesungguhan pihak pembangkang untuk menawan kerusi ini cukup jelas sekali.

“Namun, usaha mereka untuk merebut kerusi Parlimen Sarikei daripada Barisan Nasional (BN) bukan sesuatu yang mudah,” komennya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, persaingan parti-parti yang bertanding bagi kawasan ini jelas terlihat dengan usaha mereka untuk mendapatkan sudut dan posisi terbaik untuk meletakkan poster dan risalah tentang perjuangan mereka.

“Jika kita lihat di Parlimen Sarikei sejak Sabtu lalu, parti yang bakal bersaing memulakan kerja-kerja pemasangan tempat-tempat untuk menyimpan poster dan risalah mereka.

“Ini terutamanya di tempat-tempat yang strategik dan mampu menarik perhatian umum,” jelasnya.

Tinjuan ke beberapa kawasan di bandar ini semalam, menyaksikan parti pembangkang mula memasang poster di beberapa tempat di sekitar bandar ini.

Pada masa yang sama, rata-rata masyarakat tempatan menggambarkan bahawa di Parlimen Sarikei akan berlakunya pertandingan dua penjuru iaitu melibatkan calon daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bakal menghadapi tentangan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP).